Malaysia Dateline

Individu muslim disaran tetapkan sumbangan bulanan untuk Palestin

Kewajipan mempertahankan bumi Palestin adalah kewajipan seluruh umat Islam dan bukan hanya mereka yang tinggal di sekitarnya sahaja.

Yang diPertua Pertubuhan Ikram Kelantan Ustaz Dr Mohd Sha’rani Mohd Naim berkata demikian ketika menyampaikan ceramah solidariti Palestin di Madrasah Tuan Haji Nordin Adam Kg Laut, Tumpat, Khamis lalu.

Ustaz Dr Mohd Sha’rani Mohd Naim

“Ketika tanah suci itu kini diserang Yahudi dan sekutunya di serata dunia, tidak seorang pun muslim harus mengecualikan diri dari mempertahankannya.

“Kita yang berada jauh darinya tentu tidak boleh secara fizikal pergi menyertai umat Islam di sana. Ini tidak bermakna kita terlepas tanggungjawab,” katanya.

Peranan yang boleh dibuat oleh setiap umat Islam ialah menyumbang dalam bentuk doa, kewangan dan harta benda.

“Seharusnya kita menetapkan jumlah sumbangan bulanan yang khas diperuntukkan kepada perjuangan membebaskan Palestin. Jumlah tidak mesti banyak, buatlah sekadar yang kita mampu, seringgit, dua ringgit, sepuluh ringgit,” katanya.

Sebahagian wanita yang hadir di majlis berkenaan.

Mengenai doa untuk Palestin, beliau mencadangkan supaya dimasukkan dalam qunut setiap solat subuh.

“Saya sendiri sebagai imam masjid akan sentiasa memasukkan doa untuk Palestin setiap kali menjadi imam solat subuh,” katanya.

Setiap umat Islam juga katanya perlu peka dengan rangkaian perniagaan Yahudi yang turut menular di negara kita.

“Kita kena kenal syarikat-syarikat dan produk-produk yang ada kaitan dengan Yahudi dalam pasaran. Jangan makan makanan buatan mereka.

“Jangan beli servis insuran dan rangkaian bank milik mereka atau sertai pertubuhan-pertubuhan yang ada hubungan dengan mereka,” katanya.

Dr Sha’rani turut menceritakan secara terperinci sejarah Baitulmaqdis yang kini jadi rebutan tiga agama samawi.

“Islam, Kristian dan Yahudi masing-masing menganggap kota ini milik mereka. Semua menganggap perkara in adalah berkaitan dengan pegangan akidah masing-masing dan cuba membuktikan dengan fakta-fakta sejarah bahawa merekalah paling berhak ke atasnya.

“Hakikatnya Islam sebagai agama penyudah dan pelengkap kepada pengutusan nabi-nabi dan rasul-rasul adalah penanggung hak sebenar atas kota suci itu.

“Untuk itu umat Islam perlu berjuang dengan harta dan jiwa mereka sebagai menyahut perintah Allah SWT,” katanya.

Turut berucap di majlis anjuran wanita Pakatan Harapan (PH) Kelantan itu adalah pengerusi madrasah Tuan Haji Nordin Adam dan juga Ketua Wanita PH Kelantan Norashidah Jaafar.