Ramai tertanya bolehkah jika seseorang individu yang sebelum ini terjebak dengan ‘trading forex” ingin memberikan hasil pelaburannya itu sebagai sedekah kepada orang lain.
Sama seperti seorang individu yang tidak dinamakan ini, dia pernah bertanya tentang hasratnya untuk bersedekah kepada golongan fakir miskin menggunakan duit pelaburan Forex.
Namun penjelasan Mufti adalah hukum menjalankan trading Forex untuk tujuan bersedekah sebenarnya haram.
“Saya ingin bertanya hukum jika saya berniat untuk bersedekah menggunakan sumber daripada Trading Forex Online. Sebagaimana kita maklum, hukum Trading Forex adalah haram dan saya telah meninggalkan kerja ini sekian lama setelah hukumnya telah diwartakan di Malaysia.
“Namun, saya berfikiran bahawa adalah suatu kerugian jika kebolehan saya untuk memperoleh sumber kewangan daripada Forex Trading yang agak banyak tidak dimanfaatkan kepada fakir miskin di sekitar kawasan kediaman dan negeri saya.
“Jadi terlebih dahulu saya ingin mendapatkan kepastian daripada pihak tuan berkenaan hukum untuk niat saya ini,” ujarnya.
Ringkasan jawapan
Menurut laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hukum menjalankan trading Forex untuk tujuan bersedekah adalah haram.
Bagi mencapai suatu tujuan yang baik hendaklah ia diperoleh melalui jalan yang dibenarkan syarak.
Ini kerana kaedah syarak yang mengharuskan melakukan perkara yang diharamkan hanyalah terpakai dalam situasi yang memang betul-betul mendesak sehingga tiada cara melainkan perlu melakukan perkara yang haram.
Sedangkan dalam situasi di atas, bersedekah secara umumnya masih belum mencapai tahap darurat.
Pada masa yang sama masih ada wasilah halal yang lain untuk memperoleh wang seperti pelaburan saham, crowdfunding (sumbangan dana awam), dan lain-lain.
Huraian jawapan
Pertamanya, perdagangan matawang (Forex) mempunyai pelbagai gambaran dan bentuk. Tulisan ini memfokuskan pada bentuk Perdagangan Pertukaran Matawang Asing oleh Individu Secara Lani (Individual Spot Forex) melalui platfom elektronik yang sudah difatwakan haram dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-98.
Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa perdagangan pertukaran mata wang asing (Forex) oleh individu secara lani (individual spot Forex) melalui platfom elektronik yang ada pada masa ini adalah haram kerana ia bercanggah dengan kehendak syarak dan juga tidak sah dari sisi undang-undang negara.
Seterusnya, bagi mencapai suatu tujuan yang baik hendaklah diperoleh melalui jalan yang dibenarkan Syarak semampu yang mungkin.
Slogan “niat menghalalkan cara” tidak boleh difahami secara mutlak untuk setiap keadaan, sebaliknya slogan tersebut hanya terpakai jika memenuhi dua syarat utama yang dikongsikan di laman rasmi pejabat Mufti.
Baca juga: Pengantin hampir tak jadi kahwin, tok kadi lupa datang majlis sampai terpaksa tempah tok kadi baru