Malaysia Dateline

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

Individu positif Covid-19 tidak dibenarkan mengundi di Sabah

Kerajaan memutuskan untuk tidak membenarkan pengundi yang disahkan positif Covid-19 dan dirawat di hospital, untuk keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Sabtu ini.

Keputusan itu diumumkan Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas kata putus dicapai dalam mesyuarat khas Menteri pagi tadi.

Beliau berkata, kerajaan sudah membuat pertimbangan dan mengambil kira segala kemungkinan berhubung perkara itu kerana bimbang penularan berlaku sehingga menjangkiti orang lain.

“Setelah mempertimbangkan mesyuarat pagi tadi kita buat keputusan, mereka (pesakit positif Covid-19) tidak dibenarkan keluar mengundi.

“Kita tidak benarkan kerana takut mereka menyebarkan penyakit di luar,” katanya dalam sidang media khas Covid-19, hari ini.

Pada masa sama, Ismail berkata mereka yang pulang ke Semenanjung, Sarawak dan Labuan selepas selesai PRN Sabah tidak perlu menjalani proses kuarantin wajib 14 hari sama ada di Stesen Kuarantin mahupun di kediaman.

Beliau turut menegaskan agar tidak percaya dengan khabar angin yang mengatakan mereka perlu dikuarantin.