Malaysia Dateline

Individu pulang dari Sabah wajib kuarantin 14 hari mulai esok

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menegaskan mana-mana individu yang pulang dari Sabah akan dikuarantin bermula esok sehingga 10 Oktober.

Beliau berkata, mereka yang pulang dari Sabah juga akan menjalani saringan kesihatan Covid-19 di Pintu Masuk Antarabangsa dan menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO).

Katanya, semua individu di Pintu Masuk Antarabangsa akan diberi surat HSO, dan dipakaikan gelang kuarantin.

“Tarikh HSO akan bermula dari tarikh ketibaan di pintu masuk sehingga keputusan makmal diperolehi. Pelepasan HSO akan diberikan sekiranya keputusan ujian makmal menunjukkan negatif Covid-19.

“Sekiranya terdapat individu yang perlu meneruskan perjalanan ke rumah masing-masing dengan menaiki kenderaan awam seperti teksi dan khidmat e-hailing, surat kebenaran untuk ke alamat yang ditetapkan akan diberikan pada hari berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu katanya, terdapat keperluan untuk melaksanakan langkah pencegahan dan kawalan penularan jangkitan Covid-19 ke atas individu dengan sejarah perjalanan dari Sabah bagi memantau risiko penularan jangkitan dalam kalangan individu berkenaan.

“Mereka diwajibkan untuk memuat turun dan mendaftar aplikasi MySejahtera dan daftar masuk menggunakan aplikasi ini setibanya di Pintu Masuk Antarabangsa dan menjalani saringan gejala jangkitan saluran pernafasan,” katanya.

Jelas beliau, sekiranya individu berkenaan mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan dalam tempoh 14 hari dari tarikh pulang, individu berkenaan perlu menjalani saringan ulangan bagi Covid-19.

“Saringan ke atas individu (warga negara dan bukan warga negara) yang pulang dari Sabah ini dikecualikan daripada caj ujian Covid-19.

“Tempoh pelaksanaan langkah pencegahan dan kawalan penularan jangkitan Covid-19 ke atas individu yang baru pulang dari Sabah akan disemak dari semasa ke semasa, berdasarkan penilaian risiko penularan jangkitan pada masa berkenaan dan maklumat mengenai sebarang perubahan berkaitannya akan dimaklumkan kepada umum,” katanya.