Ibu bapa seharusnya lebih memahami situasi anak-anak kerana tak semua bekerja dengan gaji lima angka.
Apatah lagi anak yang hanya bergaji minima, pastinya ada banyak komitmen yang perlu dilunaskan bayaran.
Seorang pengguna Twitter, @ConfessTweetMY memuat naik pengakuan daripada pengadu yang terbeban kerana ibu bapa mahu dirinya membeli kereta honda dengan gaji RM1,500.
“Saya cuma nak meluah tentang sedikit ringkasan masalah saya, dengan gaji RM1500 ibu bapa saya selalu mendesak untuk saya beli honda.
“Kereta idaman katanya, tapi saya tahu saya tak mampu,” ujarnya dalam tangkap layar tersebut.
Pengadu tersebut turut berkongsi bagaimana ibunya hanya suri rumah dan ayahnya juga sudah tidak bekerja kerana sakit.
Dek kerana rasa tanggungjawab, setiap bulan pengadu dan adik beradiknya akan beri wang kepada ibu ayah mereka.
“Saya jadi sedih sebab mereka selalu bercakap pasal anak orang lain yang berjaya. Sampai satu hari saya cakap, boleh tak kalau kita hidup sederhana dan apa adanya,” tambahnya.
Kata-kata ibu mungkin untuk memberi semangat namun pada anaknya dilihat sebagai sesuatu yang lain, seharusnya mereka lebih memahami perasaan anak sendiri.
“Daripada bertanya ‘bila nak pakai honda’, ‘bila nak kerja lain boleh beli honda’, mungkin lagi baik jika cakap ‘ibu doakan awak kerja bagus bagus dapat beli honda’,” katanya.
Ibu bapa tidak perlu membebankan anak dengan impian mereka yang tidak tercapai, anak itu juga punya impian sendiri jadi lebih baik menyokong mereka.
Baca juga: Anak tak muncul-muncul janji nak buka puasa bersama, ibu akhirnya meninggal dalam tekanan