Malaysia Dateline

Individu wajib ambil RT-PCR tiga hari sebelum ke Sarawak

Individu terutamanya dari Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan yang hendak masuk ke Sarawak, adalah diwajibkan mengambil ujian
calitan RT-PCR COVID-19.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, ujian berkenaan perlulah diambil tiga hari sebelum kemasukan ke negeri ini.

JPBN berkata, terdapat enam kes dari satu keluarga (lapan orang) yang telah disaring positif sebelum mengambil penerbangan ke Sarawak pada 1 Julai lalu.

“Ini menunjukkan kepentingan polisi ini bagi mencegah kemasukan kes positif ke Sarawak dan mengurangkan risiko jangkitan kepada kakitangan di lapangan terbang serta penumpang dan krew dalam pesawat yang sama.

“Untuk itu, JPBN akan menilai semula tatacara kemasukan ke negeri ini bersama-sama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak dari semasa ke semasa berdasarkan perkembangan situasi di dalam dan luar negara, ‘ jelas JPBN dalam satu kenyataan.

Tegas JPBN lagi, langkah ini amat penting khususnya dengan kes tempatan virus SARS-CoV varian Delta yang dikesan di 10 negeri dan di Wilayah Persekutuan di negara ini.

Bagaimanapun, tambah JPBN setakat ini tiada jangkitan kes tempatan Covid-19 varian Delta dilaporkan di Sarawak setakat ini.

“Justeru, bagi mengelak penularan varian Delta itu, Sarawak telah meletakkan prosedur operasi standard (SOP) yang sangat ketat untuk kemasukan dari Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan berkuat kuasa 28 Jun lalu termasuk ujian swab tiga hari sebelum berlepas ke Sarawak.

“Malah, Sarawak turut melarang kemasukan individu yang mempunyai sejarah berada di Labuan dalam tempoh 21 hari memasuki Sarawak,” kata JPBN.