Malaysia Dateline

Indo-Pasifik adalah rantau keutamaan, kata Setiausaha Pertahanan AS di Shangri-La Dialogue 2019

Ketika pergelutan di antara negara besar seperti Amerika Syarikat (AS) dan China sedang berlaku, Setiausaha Pertahanan AS Partick Shanahan menyatakan bahawa rantau Indo-Pasifik adalah “keutamaan” di mana AS akan bersama rakan-rakan negara lain untuk menentang usaha dominasi oleh sesebuah negara, lapor Straits Times Singapura.

“Berdirinya saya disini adalah untuk menyatakan komitmen AS terhadap rantau Indo-Pasifik ini dan nilai-nilainya demi memastikan ia terus makmur, bebas dan terbuka,” kata beliau ketika menyampaikan ucaptama di Shangri-La Dialogue (SLD) pada Sabtu (1 Jun 2019). SLD adalah acara tahunan yang mengumpulkan menteri-menteri pertahanan, pegawai-pegawai tentera dan penganalisis pertahanan di Singapura.

Tambah beliau, “Rantau Indo-Pasifik adalah keutamaan. Kami seharusnya disini,” dan menyatakan bahawa keberadaan AS adalah suatu perkara biasa di Asia Pasifik.

“Kedudukan geografi ini telah mendekatkan ekonomi di antara kita: perdagangan dua hala berjumlah USD 2.3 trillion dan pelaburan langsung asing AS berjumlah USD 1.3 trillion – lebih daripada China, Japan dan Korea Selatan jika digabungkan,”.

Walaupun beliau tidak menyebut China secara spesifik, tetapi ucapannya sering menjurus kepada Beijing yang sering menyatakan bahawa AS adalah sebuah kuasa besar yang berada di luar rantau ini.

“Kami (AS) sedang melabur di rantau ini. Kami sedang melabur kepada anda (negara-negara Asia Pasifik). Dan kami perlukan anda untuk melabur kepada diri anda sendiri.”

“Kami perlukan anda untuk melabur dalam erti kata untuk sentiasa mempertahankan kedaulatan negara anda dan anda mempunyai kekuatan tersendiri untuk mempertahankan kedaulatan,” tambah beliau.

Di dalam usaha untuk membina orde sekuriti bersama, jelas beliau, “Tiada satu negara pun seharusnya mendominasi rantau Indo-Pasifik ini,”.