Indonesia cadang turunkan biaya tunai haji

Indonesia cadang turunkan biaya tunai haji

Kerajaan Indonesia bercadang menurunkan kadar biaya ibadah haji untuk umat Islam negara itu bagi tahun ini.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Kerajaan Indonesia bercadang menurunkan kadar biaya ibadah haji untuk umat Islam negara itu bagi tahun ini.

Media-media tempatan hari ini memetik laporan Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) yang menyebut anggota-anggota dewan itu telah mencapai kata sepakat dengan Kementerian Agama supaya biaya haji tahun 2016 diturunkan kepada US$2,528 (US$1 = RM4) berbanding US$2,717 pada tahun lepas.

Bagaimanapun cadangan itu perlu mendapat persetujuan Presiden Republik Indonesia Joko Widodo sebelum dilaksanakan.

Timbalan Ketua DPR Sodik Mudjahid dipetik sebagai berkata selain menurunkan kadar bayaran itu, DPR juga mencadangkan kerajaan meningkatkan lagi beberapa kemudahan dan perkhidmatan untuk jemaah haji di Tanah Suci kelak.

Katanya antara perkhidmatan yang dinaikkan adalah pemberian makan sebanyak 25 kali di Makkah berbanding 15 kali sahaja tahun lepas, menaik taraf jenis bas dalam perjalanan di kota Arab Saudi, kemudahan dan pelayanan selama di Arafah, Muzdalifah serta Mina.

Sodik berkata kos ibadah haji itu dapat diturunkan kerana pihak pengurusan haji sedang berusaha mendapatkan penurunan kos penginapan di Madinah dan penurunan kos pesawat hasil rundingan dengan pihak syarikat penerbangan.

Sementara itu, Menteri Agama, Lukman Hakim Saifuddin pula berkata kuota jemaah haji Indonesia bagi tahun ini dikekalkan dengan jumlah jemaah dihadkan kepada 168,800 orang sahaja.

Katanya bagaimanapun permintaan Indonesia untuk menambah sebanyak 10,000 jemaah bagi tahun ini masih belum dimuktamadkan oleh kerajaan Arab Saudi.

“Kerajaan Arab Saudi telah memaklumkan bahawa pemotongan kuota sebanyak 20 peratus terpaksa dikekalkan lagi ekoran kerja-kerja menaik taraf dan meluaskan kawasan Masjidil Haram masih dijalankan,” katanya.

Beliau berkata kerajaan Arab Saudi juga memberi jaminan meningkatkan aspek keselamatan jemaah haji ekoran kerja-kerja pembinaan yang berjalan di sekitar kawasan masjid berkenaan.

Dalam tragedi runtuhan kren di Masjidil Haram tahun lepas, sebanyak 12 jemaah haji Indonesia maut manakala 49 orang parah.

Lukman Hakim berkata bagi tahun ini, Kementerian Agama tidak akan menempatkan lagi jemaah haji Indonesia di kawasan Mina Jadid kerana jaraknya yang terlampau jauh dari tempat melontar jamrah iaitu tujuh kilometer.

Katanya untuk tahun ini pihaknya akan memastikan tidak ada lagi jemaah haji Indonesia yang ditempatkan di Mina Jadid iaitu tempat berlakunya rempuhan jemaah di Mina yang mengorbankan 125 jemaah haji tahun lepas.

Beliau berkata kerajaan Indonesia telahpun mengemukakan beberapa cadangan kepada kerajaan Arab Saudi agar jemaah haji negara itu diberi kawasan alternatif bagi mengelakkan rakyatnya ditempatkan di kawasan berkenaan.

TAGS