Malaysia Dateline

Indonesia percepat pembinaan rumah untuk mangsa gempa bumi Lombok

Kerja-kerja membina rumah kekal untuk mangsa gempa bumi di Lombok, wilayah Nusa Tenggara Barat di Indonesia dijangka siap tahun ini, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA) memetik kenyataan Naib Presiden Jusuf Kalla.

Pembinaan itu telah ditangguh kerana kekurangan bahan.

Statistik menunjukkan bahawa mangsa bencana di Lombok memerlukan sekurang-kurangnya 30,000 rumah kekal yang kalis gempa bumi.

Kerajaan Indonesia telah menetapkan sasaran membina sejumlah 58,000 unit rumah tersebut.

Lebih 1,500 pekerja tambahan dari Kementerian Kerja Raya dan Perumahan Tempatan, tentera, polis dan masyarakat tempatan telah dikerah untuk membantu mempercepat pembinaan.

Tiga gempa bumi kuat telah menggegar Lombok serta Kepulauan Sumbawa di Nusa Tenggara Barat pada 29 Julai, 5 dan 9 Ogos tahun lepas.

Kira-kira 73,000 kediaman rosak teruk.

Gempa bumi kuat bermagnitud 7 pada 5 Ogos sahaja telah memusnahkan 75 peratus bangunan di daerah Lombok Utara.

Angka korban di Pulau Lombok mencecah 555 orang.

Lebih 1,300 orang cedera manakala hampir 353,000 kehilangan tempat tinggal.

Kerosakan dan kerugian ketika ini dianggarkan sebanyak 7.7 trilion rupiah (US$528 juta).