Indonesia sasar sejuta tong minyak sehari pada 2030

Indonesia sasar sejuta tong minyak sehari pada 2030

Indonesia mensasarkan peningkatan pengeluaran minyak dan gasnya kepada sejuta tong sehari pada 2030, lapor agensi berita Vietnam (VNA).

Sasaran itu boleh dicapai memandangkan masih banyak kawasan minyak dan gas di negara ini yang belum diterokai sepenuhnya, kata ketua Pasukan Petugas Khas Minyak dan Gas (SKK Migas) Dwi Soetjipto.

Beliau berkata Indonesia memiliki 128 lembangan, 54 daripadanya – mempunyai gabungan rizab 3.8 bilion tong minyak – telah diteroka, berbaki 74 rizab minyak anggaran keseluruhan 7.4 bilion tong.

Bagaimanapun, katanya satu cabaran dalam mencapai matlamat itu ialah ia memerlukan pelaburan besar dan masa agak lama untuk satu-satu projek, yang ada kalanya mengambil masa selama 10 tahun.

Negara juga perlu menyediakan iklim pelaburan menarik dan mesra pelabur, katanya, sambil menambah kerajaan harus menghapuskan peraturan yang bertindih di peringkat tempatan dan pusat.

Tahun lepas, Moody’s Investor Services menganggarkan menjelang 2025, Indonesia perlu melabur lebih US$150 bilion dalam projek minyak dan gas untuk mengelak penurunan pengeluaran, membangunkan infrastruktur import gas dan meningkatkan kapasiti penapisan minyak bagi memenuhi permintaan bahan api domestik.

Pembantu Naib Presiden Moody’s, Rachel Chua, berkata 80 peratus pembiayaan, atau kira-kira US$120 bilion, akan dibelanjakan untuk tujuan penerokaan manakala bakinya bagi pemprosesan, perdagangan dan pengedaran.

Pengeluaran minyak dan gas Indonesia pada pertengahan 1990-an mencecah 1.6 juta tong sehari.

Bagaimanapun, apabila pembaharuan bermula pada 2000-an, pengeluaran minyak merosot disebabkan pengurusan kerajaan yang lemah serta pengurangan pelaburan.

Tahun ini, Indonesia mensasarkan untuk menghasilkan 784,520 tong sehari, sedikit meningkat berbanding 778,330 tong sehari pada 2018.

— BERNAMA