Malaysia Dateline

Industri patut beri Sim kad dengan data percuma untuk pelajar

Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub menggesa agar pemain-pemain industri telekomunikasi mempertimbangkan pemberian sim kad khas yang memberikan data percuma kepada para pelajar.

Ini susulan keluhan ibu bapa yang mengadu sukar untuk menyediakan akses Internet kepada anak-anak setelah terbeban dengan keperluan untuk menyediakan kemudahan komputer riba bagi kegunaan pembelajaran anak mereka.

Menurut Timbalan Presiden AMANAH itu, pemain industri telekomunikasi perlu tahu bahawa ini merupakan satu tanggungjawab sosial yang sangat mendesak.

“Saya mengusulkan agar pemain-pemain telekomunikasi seperti Celcom, Digi, Maxis, U-mobile dan lain-lain, wujudkan simkad pre-paid khas untuk data pelajar-pelajar kerana ibu bapa dah cukup terbeban dengan pembelian gajet.

“Ini satu tanggungjawab sosial yang mendesak,” tegasnya dalam satu hantaran di Twitter hari ini.

Cadangan Salahuddin itu dipersetujui oleh pelbagai pihak yang memberikan respom kepada cadangan beliau itu.

Saravanan Nagarajan berkata, “Setuju kerajaan patut bincang dengan syariket telekomunikasi. Tapi depa ni sibuk nak jaga pangkat dan kedudukan masing-masing.”

Ariffin Abdul Hamid pula berkata, internet berkelajuan tinggi kini menyusahkan golongan yang susah. Sebagai contoh, kelas 8 jam sehari boleh menghabiskan lebih kurang 2GB data.

“Kos internet masih lagi mahal. Itu belum lagi isu masalah capaian dan liputan,” kata beliau.