Industri Francais terus kekalkan momentum pertumbuhan

Industri Francais terus kekalkan momentum pertumbuhan

Industri francais akan terus mengekalkan momentum pertumbuhannya walaupun berlaku kelembapan ekonomi semasa, kata Pengarah Urusan Perbadanan Nasional Bhd (PNS), Datuk Syed Kamarulzaman Syed Zainol Khodki Shahabudin.

PNS merupakan syarikat yang dimiliki Menteri Kewangan (Diperbadankan) dan ia juga adalah agensi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Syed Kamarulzaman berkata permintaan pengguna akan terus memacu pertumbuhan industri itu.

“Sektor perkhidmatan serta makanan dan minuman akan menyumbang kepada pertumbuhan berkenaan,” katanya kepada pemberita semasa program Penemuan Media Zawara 2016 di sini hari ini.

Syed Kamarulzaman berkata agensi itu akan terus memperuntukkan antara RM30 juta dan RM40 juta dalam membantu kira-kira 200 usahawan memulakan perniagaan francais tahun ini.

Tahun lepas, sektor makanan dan minuman menyumbang 70 peratus daripada pertumbuhan industri francais manakala sektor perkhidmatan memberi 30 peratus.

Sektor makanan dan minuman menyumbang RM26.8 bilion atau 2.7 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar 2015 berbanding RM24.6 bilion atau 2.5 peratus pada 2014.

CATEGORIES