Industri K-Pop buat hal lagi, keluarkan rekaan kulit album menyerupai al-Quran

Oleh WAN SITI AMINAH

Industri hiburan muzik Korea Selatan atau lebih dikenali sebagai K-Pop di kalangan warga tempatan kembali menggoncang dunia baru-baru ini.

Bukan kerana pretasi mengagumkan, industri muzik K-Pop itu rupa-rupanya telah terpalit dengan satu kontroversi yang menyentuh sensitiviti agama Islam.

Mana tidaknya, kulit album lagu milik kumpulan K-Pop bernama KINGDOM itu didakwa telah direka menyerupai kulit kitab suci umat Islam iaitu al-Quran.

Tular di media sosial, gambar kulit album berkenaan dikongsi oleh pengguna media sosial X (Twitter) menerusi hantaran yang dimuat naik di akaun milik @mujinyaho.

Perkara tersebut dikongsikannya dengan harapan syarikat pengurusan artis K-Pop berkenaan bakal memberikan penjelasan sebenar mengenai isu yang keterlaluan itu.

Hantaran tersebut sekaligus telah mengundang kemarahan dan kritikan teruk oleh pengguna media sosial seluruh dunia terutamanya mereka yang beragama Islam.

Rata-rata peminat Muslim mengaku tersinggung kerana mereka menganggap agama Islam tidak patut dikaitkan dengan pengeluaran album kumpulan tersebut.

Tidak mahu isu tersebut menjadi lebih parah, ada peminat memutuskan untuk menghubungi syarikat pengurusan itu agar segera menukar reka bentuk album.

Bertindak atas maklum balas peminat, agensi pengurusan kumpulan KINGDOM, GF Entertaintment segera memuat naik satu kenyataan bagi menjernihkan keadaan.

Tampil membuat permohonan maaf, GF Entertainment mengesali kontroversi yang timbul mengenai album itu akibat kekurangan kesedaran daripada pihak mereka.

Agensi pengurusan kumpulan K-Pop itu turut mengakui kesilapan pihak mereka yang tidak melibatkan diri untuk lebih mengawasi proses penerbitan album tersebut.

Terdahulu, kumpulan KINGDOM membuat pengumuman mengenai pengeluaran album terbaharu mereka, History of Kingdom: Part VII. JAHAN pada 19 September lalu.

Namun, peminat kumpulan K-Pop berkenaan malah terperanjat saat melihat rekaan kulit album yang boleh dikatakan hampir sama dengan kitab suci Al-Quran. 

Merupakan satu kesilapan fatal, reka bentuk antara album itu dengan kulit kitab suci al-Quran hanya dapat dibezakan dengan kehadiran simbol KINGDOM di tengah.

Baca juga: “Iddah aku 100 tahun ke?”, Puteri Sarah berang dituduh video call lelaki lain dalam tempoh iddah