Malaysia Dateline

Industri kanabis dan ketum: Ganja untuk perubatan boleh tapi perlu kawalan ketat, elak disalahguna

Rakyat menyambut baik usaha kerajaan meneliti penggunaan kanabis dan ketum terutama untuk tujuan perubatan.

Walau bagaimanapun, orang ramai berharap kawalan ketat perlu dilaksanaka bagi mengelak disalahguna.

Bagi Faiz Al Ramlan, ganja untuk perubatan mungkin boleh direalisasikan dengan menyerahkan kepakaran kepada saintis dan pakar kaji bagi menghasilkan inovasi.

“Tapi ganja untuk rekreasi dan ambil saja-saja tu tak usahlah Mabuk arak saja pun dah bunuh ramai orang setiap tahun.

“Jangan ditambah dengan kategori mabuk yang lain sudah,” katanya.

Sementara itu, pengguna Facebook Wan Perkasa berharap agar penggunaan ketum serta kanabis mengikut garis panduan dikawal ketat dan tegas daripada disalahguna.

“Jangan sampai rakyat dan negara jadi masaalah. Sekarang pun ramai yang terlibat dengan penagihan ketum dan dadah.

“Utamakan kesejahteraan hidup rakyat. Kita perlukan tenaga insan yang berkualiti untuk membina negara,” ujarnya.

Khairy Jamaluddin

Dalam sidang Dewan Rakyat hari ini, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata Jawatankuasa Induk Pembangunan Industri Kanabis dan Ketum ditubuh bagi melihat bukti terkini mengenai penggunaan ketum serta kanabis terutama untuk tujuan perubatan.

Pengerusi jawatankuasa itu ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Racun (Pindaan) 2022 berkata, kerajaan akan mengeluarkan kerangka bagi pendaftaran produk-produk ketum atau kanabis selepas jawatankuasa tersebut mendapat pandangan daripada pakar sama ada kedua-dua bahan itu boleh digunakan dengan selamat bagi tujuan tertentu khususnya perubatan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, penanam-penanam ketum di Malaysia mungkin boleh mendapat hasil ekonomi daripada penjualan tanaman ketum mereka.

Namun dalam masa sama, pengumuman Khairy mengenai penubuhan jawatankuasa itu dilihat mengundang kritikan orang ramai.

“Banyak jawatankuasa ditubuhkan, satu pun tak guna. Harap yang ini bergunalah buat negara,” bidas Junaidy Hanafi.

Baca juga Thailand keluarkan ketum dari senarai dadah berbahaya