Industri keselamatan swasta berupaya hasil produk keselamatan berinovasi

Industri keselamatan swasta berupaya hasil produk keselamatan berinovasi

Industri Keselamatan swasta mempunyai keupayaan membawa masuk teknologi-teknologi keselamatan yang kreatif dan berinovasi pada negara, kata Perdana Menteri.

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata industri keselamatan swasta itu berpotensi menghasilkan produk-produk inovasi keselamatan yang boleh dipasarkan di dalam dan luar negara.

“Di sinilah letaknya cabaran kepada pengusaha-pengusaha industri keselamatan untuk mengimbangi tanggungjawab sebagai pengusaha dan menghasilkan produk keselamatan yang kreatif dan inovatif.

“Selain dari kepekaan dan pengetahuan setempat yang mereka miliki, industri ini memberi perkhidmatan melalui penggunaan teknologi keselamatan seperti sistem penggera dan kamera litar tertutup (CCTV),” katanya.

Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) ketika merasmikan  MSIEA diiringi bersama Tan Sri Muyiddin Yassin (kanan) dan Datuk Mustapa Ali.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Gala Dinner Malaysia Security Industry Excellence Awards (MSIEA) anjuran Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM) dan Asian Professional Security Association (APSA).

turut dihadir Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden PIKM, Datuk Seri Mustapa Ali.

Dr Mahathir  berkata industri tersebut turut berupaya memberi perkhidmatan kawalan keselamatan secara bersenjata dan tidak bersenjata kepada orang awam.

Kerajaan ujarnya lagi, komited mewujudkan lebih ramai pekerja tempatan yang berpengetahuan, berkualiti dan berkemahiran.

Antara inisiatif ke arah ini adalah dengan memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bertujuan membangunkan Malaysia sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi.

“Pada masa yang sama, kerajaan juga akan meneruskan pelaksanaan Program Latihan Certified Security Guards (CSG) yang dilaksanakan bersama PIKM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Saya ingin menekankan pentingnya industri keselamatan swasta, di dalam sumbangannya kepada ekonomi negara secara langsung atau tidak langsung,”katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata kerajaan turut komited melaksanakan inisiatif mewujudkan persekitaran yang lebih selamat untuk masyarakat seperti yang telah digariskan di dalam Rancangan Malaysia Ke-11.

Tambahnya lagi, pada ketika dunia sedang berhadapan dengan pelbagai isu keselamatan seperti terrorism, jenayah rentas sempadan, dan ancaman keselamatan bukan tradisional, ia memberi cabaran tinggi kepada kerajaan untuk memastikan keselamatan rakyatnya terjamin.

“Cabaran yang dihadapi hari ini tidak membolehkan mereka untuk berada disetiap tempat pada setiap masa.

“Yang sering diharapkan dari mereka ialah kemampuan datang segera apabila terdapat situasi yang membimbangkan setelah jenayah atau kemalangan berlaku.

“Di dalam konteks inilah kehadiran perkhidmatan kawalan keselamatan swasta dilihat terus menjadi relevan dan diperlukan,” katanya.