Malaysia Dateline

Industri kewangan Islam di Malaysia: Masih adakah harapan?

AMIRUDDIN HAMZAH

Malaysia tidak asing lagi dalam sektor kewangan Islam global. Sehingga penghujung tahun 2019, Malaysia masih lagi menyumbang 47.5% daripada jumlah Sukuk yang diterbitkan seluruh dunia manakala dari segi aset dibawah pengurusan global atau dengan izin “Global Asset Under Management” bagi dana kewangan Islam adalah 34%.

Dalam Islamic Finance Development Report 2019 yang dikeluarkan oleh Refinitiv (sebelum ini dikenali sebagai Thomson Reuters), Malaysia masih lagi berada di tangga teratas dalam kedudukan pemain kewangan Islam utama dunia.

Semasa saya menjawat jawatan sebagai Timbalan Menteri Kewangan, saya berpeluang bertemu ramai pakar-pakar kewangan Islam, pemain industri dan ahli-ahli akademik yang telah menyuarakan kebimbangan mengenai hala tuju industri kewangan Islam negara yang agak perlahan.

Justeru, saya melihat terdapat satu keperluan untuk sektor kewangan Islam ini terus diperkasa mengambil kira sektor perkhidmatan merupakan penyumbang terbesar kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Melalui maklum balas dan sesi pertukaran pendapat, maka Kerajaan melalui Kementerian Kewangan telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Kewangan Islam (JKKI) bertujuan untuk merancakkan semula sektor kewangan Islam di negara ini, bukan sahaja dari sudut produk kewangan Islam atau perkhidmatan berkaitan semata-mata, tetapi melihat sektor kewangan Islam dari segenap sudut termasuklah graduate employability dalam bidang ini.

Kita lihat betapa negara-negara lain begitu agresif dalam merancakkan sistem kewangan Islam mereka dengan perhatian serius daripada pemimpin tertinggi negara. Sebagai contoh, negara jiran Indonesia telah menubuhkan Komite Nasional Ekonomi dan Kewangan Shariah (KNEKS) dimana Presidennya bertindak sebagai ketua di dalam Komite ini.

Ini menunjukkan sektor ekonomi kewangan Islam mempunyai potensi yang besar untuk terus dirancakkan terutama dalam situasi ekonomi pada ketika ini.

Oleh itu, semasa pembentangan Belanjawan 2020 oleh YB Lim Guan Eng, Mantan Menteri Kewangan, beliau telah mengumumkan untuk menyediakan sebuah Blueprint Ekonomi Islam yang beraspirasi untuk memacu kewangan Islam bukan sahaja dari sudut perbankan dan permodalan semata-mata, tetapi ekonomi Islam secara holistik meliputi sektor-sektor lain seperti industri halal, pelancongan, fesyen dan kebajikan.

FinTech dan Kewangan Islam

Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0) telah menjadi faktor pendorong bagi industri kewangan islam untuk menyesuaikan diri dengan teknologi semasa seperti kecerdasan buatan (Artificial Intelligent), Big Data, Robotik dan Rantai blok (Block chain).

Malah untuk menjadikan Kewangan Islam terus relevan dengan menambah nilai kompetitif dan evolusi, beberapa teknologi baharu telah diperkenalkan bagi industri ini lebih mudah diakses kepada seluruh rakyat malaysia.

Dalam era digital ini, perkhidmatan dan produk kewangan Islam kini boleh diakses oleh semua golongan termasuk golongan minoriti terutama di komuniti pedalaman yang tidak menggunakan perkhidmatan bank konvensional.

Berdasarkan Laporan Findex (2017) yang dikeluarkan oleh Bank Dunia, di seluruh dunia, 1.7 bilion golongan dewasa yang masih belum ada akaun bank atau apa-apa akses terhadap sektor kewangan dan ia menunjukkan pengurangan berbanding 2014 iaitu sekitar 2 Billion. Dan kajian juga menunjukkan sekitar 59% populasi golongan dewasa tidak mempunyai akses kepada perkhidmatan bank di Asia Timur dan Asia Tenggara.

Kajian yang menumpukan pada populasi Muslim Asia menunjukkan bahawa segmen penduduk ini menjauhkan diri daripada akaun simpanan konvensional kerana ciri peminjaman faedah akaun ini, yang dilarang dalam Islam.

Berdasarkan isu ini beberapa polisi telah disusun untuk memberi sokongan dan memudahkan pembangunan digital bagi kewangan Islam bagi memperkasakan inklusiviti dalam kewangan sekaligus merealisasikan agenda ke 3 (mempromosikan pembangunan ekonomi dan pekerjaan) dan agenda ke 10 (mengurangkan jurang ketidaksamarataan) dalam agenda pembangunan mampan 2030 (SDG 2030).

Kesan Inovasi Terhadap Kewangan Islam

Fintech secara umumnya, membawa maksud apa-apa transaksi atau aktiviti berkaitan kewangan yang kini diinovasikan dan diperbaharui melalui gabungan teknologi yang menyaksikan pengalaman perbankan berbeza kepada pelanggan institusi kewangan, sama ada konvensional atau perbankan Islam.

Fintech akan membolehkan kewangan Islam menarik lebih banyak pelanggan, meningkatkan kecekapan, mengurangkan kos dan membantu sektor ini menjadi lebih kompetitif. Perkembangan teknologi menjadikan fintech sebagai salah satu suntikan untuk membawa kewangan Islam ke satu tahap yang lebih tinggi.

Teknologi ini juga mampu membawa kewangan Islam menjadi saluran yang kukuh untuk memberi maklumat dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat berkenaan industri ini.

Bagi mengangkat objektif ini. Kita memerlukan transformasi dan pendekatan progresif dalam teknologi untuk membawa perubahan dan anjakan paradigma pada norma yang lazim. Industri kewangan Islam seharusnya perlu muncul sebagai peneraju dalam kewangan berasaskan teknologi yang merangkumi pelbagai aspek dalam perniagaan seperti pembangunan produk dan kaedah operasi.

Fintech dapat membuat transaksi kewangan itu lebih cepat dan mudah, penambahbaikan dalam keselamatan, meluaskan pasaran kewangan Islam dan memberdaya tadbir urus yang baik. Saya berikan beberapa contoh :

Memperkenalkan sistem atau aplikasi mesra kewangan islam yang berfungsi dalam pemindahan wang, kredit mikro dan pembayaran bil dan barang, di mana pelanggan dapat menyelesaikan proses dengan mudah seperti proses permohonan Qard Hasan hanya dalam beberapa minit di dalam telefon pintar akan menarik umat islam di dunia ini untuk menjadi mesra digital.

Kedua, Perbankan islam sekarang juga sekarang sudah mempunyai aplikasi yang boleh menganalisis kredit, corak perbelanjaan atau E-wallet seperti yang wujud di beberapa bank seperti hasil pendekatan Fintech

Berdasarkan edisi terkini ‘IFN Islamic Fintech Landscape” terdapat peningkatan bilangan syarikat Islamic Fintech sehingga akhir bulan Februari. Lebih 70 % syarikat ini sangat aktif di dalam penyediaan perkhidmatan kewangan seperti pemindahan wang, perbankan digital dan 30 % beroperasi dalam infrastruktur teknikal seperti IT, Kecerdasan buatan dan robotik. Hampir 46% syarikat ini berpusat di Asia.

Di sini saya ingin membuat penekanan bahawa pelaburan fintech di peringkat global sedang berkembang dengan ketara dan kluster ini harus kita letak sebagai ‘Game changer’ atau ejen merubah dalam Kewangan Islam kerana Fintech ini mampu memberikan impak yang besar dalam perkembangan industri Kewangan Islam di peringkat Malaysia.

Akhir Sekali, saya berharap agar Kerajaan meneruskan insiatif JKKI ini atau menambahbaik usaha ini bagi memartabatkan sektor kewangan dan ekonomi Islam.
Dalam menghadapi cabaran ekonomi mendatang, adalah lebih baik jika Malaysia menerajui sektor ini dengan mengambil kira kemampuan negara yang mempunyai kerangka perundangan yang akomodatif dalam sektor kewangan Islam.

Terdapat ramai pakar-pakar yang menjadi rujukan banyak negara di dunia malah negara juga melahirkan ramai bakat-bakat baharu dalam kewangan Islam yang dilahirkan oleh Institutsi Pengajian Tinggi awam dan swasta serta teknologi yang terkini bagi memperkasakan industri ini.


Penulis adalah Mantan Timbalan Menteri Kewangan.