Malaysia Dateline

Industri kraf catat nilai jualan RM506.5 juta tahun lepas

Seramai 5,572 usahawan telah berdaftar dengan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia dan berjaya mencatatkan nilai jualan sebanyak RM506.5 juta sepanjang tahun lepas.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi berkata usahawan tersebut merangkumi bidang kraf tekstil, hasil rimba, hasil tanah, hasil logam dan aneka kraf melibatkan 10,271 orang tenaga kerja.

Beliau berkata daripada jumlah, seramai 241 usahawan kraf dan 1,156 tenaga kerja telah direkodkan bagi Selangor.

“Usahawan ini telah berjaya memperoleh sebanyak RM42 juta nilai jualan atau 8.3 peratus daripada jumlah keseluruhan industri kraf,” katanya dalam ucapan perasmian Program Semarak Seni Kraf di Dewan Hj Md Silin, di Beranang, pada Rabu.

Mohamaddin berkata penghasilan produk kraf cenderahati di Semenyih amat berpotensi untuk dibangunkan memandangkan kawasan tersebut mempunyai pelbagai tarikan pelancongan seperti Bukit Broga, Sungai Tekala dan Kolam Air Panas Sungai Lalang.

Terdahulu, seramai 45 peserta menyertai program Semarak Seni Kraf yang menyediakan latihan kemahiran jahitan alat permainan fabrik dan teknik tekstil ikat celup baju kemeja-T dan selendang batik.

Program sehari itu merupakan jerayawara bersempena Hari Kraf Kebangsaan 2019 yang bakal berlangsung esok hingga 11 Mac ini, bermula 10 pagi hingga 10 malam di Kompleks Kraf Kuala Lumpur.