Malaysia Dateline

Industri mahu bunuh orang Pasir Gudang?

Masih belum reda perhatian semua lensa ke Pasir Gudang. Bencana pada Mac lalu terus berulang dengan tragedi yang terbaru membabitkan sekolah yang terpaksa ditutup kerana berlaku pencemaran udara yang membuatkan murid di sekolah itu terpaksa dirawat. Apa sebenarnya yang berlaku di sana?

Perjalanan yang memakan masa hampir 45 minit dari kediaman saya itu memperlihatkan keadaan masyarakat melakukan aktiviti harian mereka tanpa sebarang perasaan panik. Ini jelas apabila ditanya kepada peniaga kedai makan di situ yang mana beliau masih berniaga dan tidak ada apa yang perlu dirisaukan dari kejadian sebelum ini.

Tahniah kepada kerajaan negeri yang cepat bertindak memberi respon kepada masyarakat tidak seperti sebelum ini yang menyaksikan panik berlaku dalam kalangan penduduk. Mungkin satu iktibar yang baik daripada kejadian sebelum ini.

Hal itu hakikatnya tidak mempengaruhi pandangan masyarakat tempatan di Pasir Gudang. Walaupun tindakan segera diambil oleh kerajaan ketika berlaku tragedi namun persoalan yang terus timbul adalah berkenaan ‘sampai bila’ ini akan terus terjadi.

Dalam tinjauan selepas berlakunya tragedi Sungai Kim Kim, terdapat dakwaan betapa teruknya tahap sungai itu sehingga hanya menunggu masa untuk meluapkan kejadian yang tidak disangka-sangka pada Mac lalu. Ada beberapa siri tangkapan yang dilakukan terhadap pihak yang bertanggungjawab yang melakukan kerja jahat tersebut pada peringkat awalnya.

Namun pada ketika ini ramai mulai tersedar dengan apakah lanjutan dari kes di Sungai Kim Kim? Dalam tinjauan ketika bertemu dengan seorang pengkaji tragedi itu, dimaklumkan bahawa sungai tersebut telah pulih seperti sediakala dan mustahil untuk ancaman serangan toksik berulang lagi pada masa terdekat.

Dakwaan itu menimbulkan soalan lain, yakni apakah kali ini wujud pembabitan dari kilang-kilang gergasi yang ada di Pasir Gudang? Pemantauan udara oleh pihak berwajib seperti Jabatan Alam Sekitar dan sebagainya boleh mengundang pertikaian.

Tragedi yang terjadi secara tiba-tiba itu menandakan kawalan kualiti udara di Pasir Gudang hanya bermusim dan tidak berlaku sepanjang masa. Apakah wujud tangan-tangan yang mengganggu penguatkuasaan sehinggakan dilihat seperti kekebalan kilang-kilang di Pasir Gudang payah ditembusi?

Kilang-kilang gergasi di sana dilihat lebih memikirkan soal operasi mereka tanpa mengambil tahu soal masyarakat di sekitarnya. Sepanjang tinjauan, bumi Pasir Gudang dibasahi hujan dan pada waktu itu, terdapat bau yang terlalu teruk yang diyakini berpunca dari kilang-kilang gergasi tersebut.

Sepanjang saya berkhidmat di sana dulu, memang lumrah pembuangan asap ke udara serta gas biasanya dilakukan pada waktu hujan dan malam. Apa sebenarnya tahap kesihatan masyarakat yang tinggal di sekitar Pasir Gudang?

Membela industri

Kenyataan menteri yang menjaga alam sekitar sebelum ini dilihat tegas mungkin disebabkan beliau digelar sebagai aktivis alam sekitar sebelum ini. Namun mungkin kerana penjawatanan beliau yang membebankan membuatkannya terpaksa dilihat seperti membiarkan industri bermaharajalela.

Berapa banyakkah kilang-kilang yang dikenakan tindakan sebelum ini? Apa pula tahap kesedaran masyarakat di sekitar Pasir Gudang terhadap pencemaran? Apa langkah-langkah proaktif dari pihak kementerian untuk membendung perkara ini supaya tidak berulang?

Inilah persoalan yang bermain di kotak pemikiran masyarakat dan persoalan yang paling utama, mengapa kerajaan seperti membela industri? Sememangnya hal tersebut perlu dijelaskan. Tindakan lebih efektif harus dibuat bagi meyakinkan penduduk di Pasir Gudang untuk mengecapi kehidupan yang sihat.

Semua persoalan ini menjadi misteri dan ada responden yang mengeluarkan persoalan yang secara emosi sehingga membabitkan perkauman yang tidak mampu untuk saya tuliskan di sini. Justeru, dari itu tindakan seperti mengetatkan undang-undang perlu dijalankan segera dan sepatutnya telah pun dijalankan.

Ancaman terhadap kesihatan masyarakat di Pasir Gudang amat membimbangkan. Prosedur operasi standard (SOP) jabatan dan agensi kerajaan berkaitan perlu dipantau dari masa ke semasa. Wujudkan pasukan khas untuk mengkaji alam sekitar setiap waktu dan jika berlaku kilang-kilang yang melanggar SOP tindakan tegas perlu diambil.

Ini hal membabitkan nyawa. Kesihatan bukan perkara main-main. Bencana sememangnya takdir tetapi dalam falsafah hukum alam ia datang hasil dari tangan-tangan manusia yang tidak bertanggungjawab termasuk yang sudah berjawatan.

Apakah kita mahu melihat pemain industri terus rakus mengaut laba sedangkan rakyat di sekelilingnya hidup dalam keadaan tidak sihat serta akan ada yang mati akibat musibah ketidak pedulian pemimpin.

Pastinya kita harus belajar untuk menangani isu ini bukan hanya menceritakan kerja keras yang dilakukan sedangkan hasilnya rapuh dan mampu dipertikaikan oleh masyarakat yang memberi kepercayaan kepada mereka.

Pujian juga harus diberi kepada jabatan serta agensi awam yang bertungkus-lumus membantu meringankan beban penduduk yang disimbah musibah.

Paling pasti soalan yang mula kuat bermain di fikiran masyarakat di Pasir Gudang adalah berkenaan dengan pembabitan orang industri dalam kementerian atau pentadbiran kerana mereka dilihat kebal.

Sehingga 25 Jun,masyarakat tidak didedahkan dengan jumlah kilang yang terbabit dalam kes pembuangan sisa di Sungai Kim Kim.

Bolehlah dikatakan soalan yang ditujukan pada saya oleh Pak Ismail di Taman Mawar yang menyebut, ‘mereka nak tengok kot industri atau kilang bunuh orang Pasir Gudang?’