Industri perkhidmatan teksi berkecamuk di bawah SPAD, kata persatuan teksi

Industri perkhidmatan teksi berkecamuk di bawah SPAD, kata persatuan teksi

Keputusan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD)  terus mengekalkan operasi  Uber dan Grabcar walaupun akan dilaksanakan Program Transformasi Industri Teksi (TITP), masih lagi dianggap mencabuli peruntukan undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD) dan Akta Pengangkutan Jalan 1987(JPJ).

Zailani IsausuludinKeputusan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD)  terus mengekalkan operasi  Uber dan Grabcar walaupun akan dilaksanakan Program Transformasi Industri Teksi (TITP), masih lagi dianggap mencabuli peruntukan undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD) dan Akta Pengangkutan Jalan 1987(JPJ).

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pemandu Teksi Lembah Klang Zailani Isausuludin berkata,SPAD sewajarnya terlebih dahulu menghentikan operasi syarikat pengendali Uber dan Grabcar sebelum ingin membawa pindaan peruntukan di bawah APAD dan JPJ ke Parlimen November depan.

Beliau mendakwa SPAD sekian lama, gagal mengambil tindakan ke atas Uber, Grabcar yang didakwa melanggar Seksyen 16 di bawah APAD berhubung penggunaan kenderaan persendirian untuk mengambil penumpang dan Seksyen 23 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (tidak memiliki lesen kenderaan awam).

“Kami pemandu teksi hairan satu badan naungan kerajaan seperti SPAD sudah berkecamuk dengan program  transformasi yang sama sekali tidak memihak kepada pemandu teksi.

“Sudah lama SPAD mengkhianati warga teksi apabila SPAD bersama agensi lain seperti JPJ, Polis, SSM (Suruhanjaya Syarikat Malaysia) bersekongkol dengan syarikat pengendali Uber dan Grabcar walaupun pemilik syarikat adalah warga negara ini tetapi syarikat induk adalah dari luar negara.

“Kami benar-benar sudah hilang kepercayaan terhadap agensi kerajaan terutama SPAD dibawah pimpinan Tan Sri Syed Hamid (Pengerusi SPAD).

“Segala aduan dan kenyataan kami, tidak diambil kira sebaliknya berterusan menganiayai semua pemandu teksi yang kini sudah hilang 60 peratus sumber pendapatan di sebabkan lambakan ‘teksi haram’ seperti Uber dan Grabcar yang jelas melangggar peruntukan undang-undang pengangkutan awam di negara ini.

“Ibarat kata  nak buat industi teksi ni… macam orang jual goreng pisang, niaga dulu bila kena saman baru nak ambil lesen niaga, inilah yang berlaku dengan Uber dan Grabcar tapi mereka tidak diberikan saman langsung,” ujarnya ketika ditemui Malaysia Dateline.

Uber dan Grabcar adalah perkhidmatan teksi yang mengunapakai sistem e-hailing sebagai perkhidmatan perantara antara pelanggan dan pemandu teksi.

Jelas Zailani e-hailing itu sudahpun dibuat oleh kerajaan sebelum munculnya Uber dan Grabcar dengan beberapa syarikat pengendali tempatan.

“SPAD sama sekali bersikap bongkak kerana tidak mahu menghapuskan dua buah syarikat pengendali Uber dan Grabcar ini.

“Sebaliknya SPAD perkenalkan kepada kami TITP yang kami dapati masih lagi tidak memihak kepada syarikat tempatan, nasib pemandu teksi dan kereta sewa seluruh negara.

“Kita tidak menolak sebarang transformasi  yang akan  dibuat tetapi mestilah  ikut acuan dan undang-undang yang telah digubal oleh pemimpin sebelum ini yang telah diluluskan di Parlimen. Sebaliknya undang-undang yang sah itu  telah dikhianati dikalangan yang tidak bertanggungjawab dalam melaksanakan amanah kerajaan di bahu mereka,” ujarnya.

Tan Sri Syed Hamid Albar (dua dari kanan) ketika sidang media mengumumkan berkaitan hasrat kerajaan melakukan tranformasi kepada pemandu teksi melalui TITP.

Pada Selala lalu Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar mengumumkan 11 pelan TITP antara lain SPAD juga memerlukan pindaan terhadap beberapa undang-undang APAD untuk mewujudkan industri teksi lebih terbuka.

SPAD turut mengumumkan untuk melaksanakan pelan pembaharuan untuk mengawal selia ‘e-hailing dan penyediaan teksi sedia ada kepada tawaran geran sejumlah RM150juta.

Dijangkakan akan dapat mentranformasikan sebanyak 2,000 pemandu teksi dan dalam fasa peralihan semua syarikat dan pemandu e-hailing akan dikehendaki berdaftar dengan SPAD.

Namun SPAD didakwa masih lagi gagal untuk membawa perubahan kepada nasib 70,000 pemandu teksi di negara ini, yang mana dalam pertemuan tertutup antara SPAD dengan pemandu teksi pada Selasa lalu, untuk memperjelaskan TITP, majoriti pemandu teksi tidak menerima keputusan transformasi yang ingin dilakukan.

‘Mendengar taklimat yang diberikan banyak persoalan yang kami ajukan, SPAD tidak boleh bagi jawaban. Kami tanya mengapa peluk tubuh tengok aktiviti haram bahkan  SKMM (Suruhanjaya Komunikasi Multimedia) juga pernah hantar surat rasmi minta SPAD batalkan aplikasi  Uber dan Grabcar sebaliknya SPAD tidak berbuat demikian.

“Jadi tiada apa yang dapat mengubah nasib kami pemandu teksi, selagi perkhidmatan Uber dan Crabcar tidak dihentikan operasinya serta merta, sebelum transformasi TITP dilaksanakan SPAD,” ujarnya yang berpengalaman sebagai pemandu teksi sejak 20 tahun lalu.

Sebagai rekod pada 30 Disember lalu, serama 102 pemandu teksi telah memfailkan saman terhadap SPAD atas dakwaan gagal mengambil tindakan proaktif dalam mengharamkan aktiviti dan operasi perkhidmatan ‘teksi haram’ Uber dan Grabcar ini dan kes masih lagi berjalan hingga kini. Saman tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi melalui firma guaman, Tetuan R. Kengadaran & Co. dengan menamakan SPAD sebagai defendan tunggal.

Pada 29 Mac pula seramai 70 buah teksi telah mengadakan mogok di Jalan Bukit Bintang dengan menutup jalan tersebut dengan teksi-teksi menyebabkan berlakunya kesesakan lalu lintas di kawasan itu.

TAGS