Malaysia Dateline

Industri perlu tumpu semula peningkatan hasil MSM – Pakar

Industri minyak sawit masih mempunyai langkah mencukupi untuk mempertingkat pengeluaran di sebalik cadangan mengehadkan keseluruhan kawasan penanaman kelapa sawit negara kepada kira-kira 6.5 juta hektar, kata pakar industri, Tan Sri Yusof Basiron.

Bekas ketua pegawai eksekutif Majlis Minyak Sawit Malaysia itu berkata bagi permulaan, industri seharusnya menumpukan semula peningkatan hasil minyak sawit mentah (MSM).

“Selama ini, hasil kita semakin merosot berbanding meningkat,” katanya kepada Bernama di luar Persidangan dan Pameran Minyak Sawit dan Laurik: Prospek Harga 2019/2020 (POC 2019) di sini, hari ini.

 Beliau berkata pihak industri sewajarnya mengamalkan amalan agronomik dengan meneliti semula keperluan perladangan sawit, dan selepas itu barulah hasil boleh meningkat, begitu juga pengeluaran.

Terdahulu pada persidangan tersebut, penganalisis minyak sayuran terkemuka, Thomas Mielke berkata hasil minyak sawit Malaysia mengalami aliran penurunan yang membimbangkan bagi tempoh sembilan tahun, terutama disebabkan salah urus sekali gus mengakibatkan kekurangan penanaman semula serta kenaikan kos buruh dan baja.

Beliau berkata Malaysia perlu menanam semula sekurang-kurangnya 250,000 hektar sawit setahun bagi tempoh lima tahun akan datang supaya industri minyak sawit kekal menarik.

Senada dengan Mielke, Yusof berkata industri seharusnya memanfaatkan prospek positif minyak sawit.

“Prospek bagi lima tahun akan datang (berdasarkan perbincangan semasa persidangan ini) adalah permintaan minyak sawit akan melebihi penawaran, yang akan memperkukuh harga komoditi tersebut.

“Jadi, kita memiliki kelebihan untuk mula merancang bagi memulihkan industri sawit dengan dipacu permintaan masa depan yang akan kekal kukuh,” katanya.

Beliau berkata, selain langkah penanaman semula dan pemulihan pokok sawit, cadangan pengehadan berkenaan akan mendorong pertukaran tanah yang ditanam dengan tanaman lain seperti koko atau getah kepada perladangan sawit jika tanahnya sesuai.

Justeru itu, cadangan pengehadan tidak bermaksud industri tidak boleh berkembang atau meningkatkan pengeluaran, sebaliknya ia bergantung kepada pendekatan yang diambil peserta industri, katanya.

Semalam, Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim berkata kementerian tersebut akan membentangkan cadangan pengehadan kawasan penanaman kelapa sawit negara kepada 6.5 juta hektar daripada 5.85 juta hektar yang dicatatkan pada akhir 2018, ke Kabinet bulan ini

Beliau berkata ia dijangka dapat dicapai menjelang 2023 berdasarkan perluasan perladangan tahunan purata dari 2013 hingga 2018.

Cadangan itu dibangkitkan berikutan peladangan sawit didakwa telah menyebabkan pembasmian hutan, katanya.

— BERNAMA