Industri sawah mampu jana sumber ekonomi mampan, kata MB Kedah

Industri sawah mampu jana sumber ekonomi mampan, kata MB Kedah
Mukhriz semasa berucap pada Konvensyen Padi Kebangsaan di Alor Setar,pada Selasa.

Seiring dengan aspirasi Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Kedah bertekad untuk memastikan industri padi terus kompetitif dan mampu menjadi sumber ekonomi pesawah yang mampan.

Demikian dinyatakan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir ketika berucap pada majlis Konvensyen Padi Kebangsaan di Alor Setar, Kedah, pada Selasa.

Kata beliau lagi, impian ini boleh direalisasikan menerusi program pengusahaan sawah secara berskala besar atau berkonsepkan estet padi.

“Berdasarkan maklumat terkini, produktiviti padi negara telah mencapai tahap yang optima, namun begitu ia masih lagi tidak mampu untuk melepasi purata pendapatan pesawah kumpulan B40.

“Ia adalah disebabkan purata saiz usaha dikalangan pesawah adalah kurang daripada dua hektar, yang dirasakan tidak menguntungkan dari segi ekonomi.

“Walaupun peruntukan subsidi secara puratanya disalurkan sebanyak RM1.9 bilion setahun untuk industri padi dan beras antara 2010 hingga 2018, namun rekod menunjukkan purata pendapatan pesawah masih rendah, ” ujarnya.

Tegas beliau, pendapatan pesawah di Semenanjung Malaysia hanyalah sebanyak RM633 sebulan, bagi setiap hektar yang diusahakan.

Oleh kerana itu jelasnya, adalah menjadi hasrat untuk menjadikan sektor penanaman padi ini satu bidang ekonomi yang berdaya maju serta sumber sara hidup yang menguntungkan.

“Kerajaan berhasrat untuk menggalakkan para petani mengusahakan sawah berkeluasan sekurang-kurangnya lima hektar bagi mencapai tahap pendapatan RM4,000 sebulan.

“Kita mahu melahirkan usahawan padi muda yang terlibat dalam sektor padi secara komersial dan sedar bahawa rata-rata pesawah adalah berusia 60 tahun keatas.

“Sejajar dengan itu, generasi muda perlu dilibatkan dalam sektor pertanian ini, tetapi haruslah ianya menjanjikan pulangan yang lumayan dan menguntungkan, ” tambah beliau lagi.