Industri solar mampu wujudkan lebih banyak peluang pekerjaan pada masa depan

Industri solar mampu wujudkan lebih banyak peluang pekerjaan pada masa depan

Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim yakin lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan melalui industri solar di negara ini pada masa depan.

Menterinya, Yeo Bee Yin berkata sehingga kini, lebih 54,300 rakyat di negara ini bekerja dalam industri itu dan merupakan jumlah yang tertinggi di rantau Asia.

“Seiring dengan hasrat kerajaan untuk menyediakan tenaga solar yang mampan, kita berjaya mewujudkan peluang pekerjaan dalam industri ini.

“Mengikut rekod, lebih 54,300 pekerja terlibat dalam bidang berkaitan industri solar sejak 2011 hingga kini,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis pelancaran Malaysia’s Largest Rooftop Solar Photovoltaic (PV) Project Under The Net Energy Metering (NEM) Scheme: 2.5 MV PV System oleh Goodyear Malaysia Bhd di sini.

Turut hadir Pengarah Operasi Pembuatan Asia Pasifik Goodyear Tire & Rubber Company Ramon Le.

Mengulas lanjut, Yeo berkata industri solar pada masa ini tidak hanya bertumpu kepada pemasangan panel solar di bangunan komersial tetapi juga di premis kilang.

“Seperti yang dilaksanakan oleh Goodyear iaitu memasang panel solar di kilang mereka bagi tujuan mengurangkan jejak karbon sekali gus memastikan masa depan yang lebih mesra alam.

“Langkah ini juga dapat mengurangkan penggunaan tenaga elektrik,” katanya.

Sementara itu, Ramon berkata pihaknya telah memasang kira-kira 6,680 panel solar yang disambungkan kepada enam substesen bervoltan rendah yang mampu menjana 2.5 megawatt bukan sahaja untuk kilang pembuatan tetapi juga mampu menyalurkan tenaga tersebut kepada pejabat dan gudang.

Beliau berkata setiap panel diperbuat daripada Bifacial Monocrystalline PERC Double Glass Solar Module 375W, dan secara keseluruhannya mampu mengurangkan 1.98 juta kilogram pelepasan karbon setahun selama 25 tahun.

Program NEM adalah sistem PV solar dan merupakan inisiatif kementerian itu untuk menggalakkan penggunaan tenaga boleh baharu di Malaysia.- BERNAMA