Infak jualan kambing perap Fattah Amin sudah diedarkan, ini golongan yang terima manfaat

Oleh WAN SITI AMINAH

Pelakon, Fattah Amin sebelum ini dibanjiri pujian selepas menolak komisen melebihi puluhan ribu ringgit dari hasil jualan kambing perap segera untuk diinfakkan kepada golongan memerlukan.

Susulan mendedahkan keputusan Fattah Amin mengenai komisen tersebut, pihak jenama kambing perap terkenal itu mengakui menerima banyak panggilan dan pesanan secara terus (DM) daripada orang ramai.

Difahamkan, orang ramai bertindak menghubungi pihak jenama kambing berkenaan iaitu Pak Mat Western untuk memohon bantuan supaya sebahagian komisen jualan itu diinfakkan kepada mereka.

Bagaimanapun Pak Mat Western menerusi hantaran yang dimuat naik di platform TikTok memaklumkan bahawa komisen tersebut bakal diinfakkan kepada golongan memerlukan menerusi pihak masjid.

“Senarai masjid untuk (penyerahan) infak Fattah Amin telah dikeluarkan. Berderu panggilan telefon masuk dan ‘direct message’ (DM) kami terima dari orang ramai yang meminta pertolongan.

“Kami berbincang untuk mengambil langkah dengan memberikan (infak) kepada masjid. Lalu pihak masjid akan edarkan kepada golongan asnaf dan ibu tunggal mengikut kariah.

“Duit komisen tak masuk satu sen pun dalam poket Pak Mat ya. Yang komen (macam itu), memang nak kena cili mulut,” kata pihak jenama berkenaan dalam hantaran itu menjawab persoalan orang ramai.

Dalam hantaran berikutnya, Pak Mat Western sekali lagi menegaskan bahawa keputusan itu adalah yang terbaik bagi mereka selepas mendapat persetujuan daripada pihak Fattah Amin sendiri.

Penjelasan tersebut dibuat ekoran segelintir pihak merasa khuatir sekiranya infak diamanahkan oleh pemilik nama sebenar Abdul Fattah Mohd Amin itu tidak sampai kepada golongan yang betul-betul memerlukan.

“Pak Mat faham ramai risau dan pertikaikan, ‘Kenapa tak beri dekat situ, kenapa tak beri dekat sini’. Ada juga yang takut sekiranya infak berkenaan tidak sampai ke tangan sepatutnya.

“Setelah berbincang bersama Fattah, ini adalah salah satu jalan terbaik dan tulus yang boleh kami buat. Insya-Allah, kami letak keyakinan dan amanah sepenuhnya pada pihak masjid untuk agihkan kepada golongan asnaf.” Jelasnya.

Terdahulu, Fattah Amin menjalinkan kerjasama dengan pihak Pak Mat Western untuk menjual produk mereka iaitu kambing perap segera dalam satu sesi siaran langsung di platform TikTok.

Bukan sahaja berjaya menjual hampir 10,000 set kambing perap, Fattah juga telah memecahkan rekod tontonan siaran langsung akaun TikTok syarikat itu dengan jumlah sukaan melebihi 25 juta kali.

Untuk menghargai pencapaian Fattah, Pak Mat Western bercadang untuk memberikan komisen kira-kira melebihi RM90,000 namun pelakon itu menolaknya dan meminta agar ia diinfakkan kepada golongan memerlukan.

Baca juga: Tanam benam untuk nampak cantik, senang dapat kerja, Raja Ema akui dah ‘insaf’, dapat watak bersesuaian umur