Malaysia Dateline

Inflasi cecah 2.0 peratus jika perang perdagangan AS-China berterusan, kata Lim

Menteri Kewangan Lim Guan Eng menjangkakan purata kadar inflasi negara mencecah sekitar 1.6 peratus hingga 2.0 peratus pada tahun ini akibat faktor ketidaktentuan global susulan pertikaian perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan China.

Malah, beliau menyifatkan kadar inflasi 2.0 peratus itu masih rendah berbanding 2017 dan angka tahun ini banyak dipengaruhi oleh senario global.

“Kita mengunjurkan inflasi pada 1.6 peratus bagi 2019…jika perang perdagangan AS-China itu berlanjutan, angka itu akan mencecah dua peratus. (Setakat ini) kita masih lagi meneliti angka akhir tersebut.

“Sekiranya (Presiden AS) Donald Trump dapat meleraikan perang perdagangan itu dengan China, kita akan menyaksikan perkembangan pasaran saham dan lain-lain dengan lebih baik. Bagaimanapun, keadaan berbeza jika berlaku sebaliknya,” katanya kepada pemberita di sini.

Namun, Lim yang juga Ahli Parlimen Bagan, optimis keadaan akan lebih positif seiring dengan perkembangan semasa.

Kadar inflasi negara bagi tahun penuh 2018 adalah sekitar 1.0 peratus – yang terendah dalam tempoh sembilan tahun berbanding 3.7 peratus pada 2017.

“Saya mungkin tidak percaya sekiranya anda katakan kita dapat mencapai kadar inflasi sebanyak 1.0 peratus pada tahun lepas, namun kita dapat mengurangkannya berikutan pemansuhan Cukai Barangan dan Perkhidmatan,” katanya.

Menurut Lim, Malaysia juga berjaya mencatat nilai eksport hampir RM1 trilion pada 2018.