Inflasi Disember naik 0.2 peratus tahun ke tahun

Inflasi Disember naik 0.2 peratus tahun ke tahun

Indeks Harga Pengguna (IHP), yang mengukur inflasi utama, meningkat 0.2 peratus pada Disember 2018 kepada 121.1 berbanding 120.9 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Mengulas mengenai laporan itu, Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia (DoS) Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata kenaikan indeks keseluruhan disebabkan oleh harga yang lebih tinggi untuk perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (+2.0 peratus), restoran dan hotel (+1.3 peratus), minuman beralkohol dan tembakau (+1.1 peratus), pendidikan (+1.1 peratus) dan makanan dan minuman bukan alkohol (+0.7 peratus).

“Pada asas bulanan, IHP meningkat 0.1 peratus berbanding November 2018. IHP bagi tempoh Januari-Disember 2018 mencatatkan kenaikan 1.0 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya,” katanya.

DoS juga melaporkan bahawa dari segi IHP keseluruhan, tiga negeri melepasi kadar IHP nasional sebanyak 0.2 peratus pada Disember 2018 berbanding Disember 2017, iaitu Wilayah Persekutuan (FT) Kuala Lumpur (+1.0 peratus), Pulau Pinang (+0.6 peratus) dan Negeri Sembilan (+0.4 peratus).

Selangor dan FT Putrajaya mencatatkan kadar yang sama dengan IHP nasional.

Sementara itu, kenaikan indeks bagi makanan dan minuman bukan alkohol yang lebih tinggi ditunjukkan di kebanyakan negeri di Malaysia.

Tiga negeri mencatatkan peningkatan yang lebih tinggi dalam indeks makanan dan minuman bukan alkohol melepasi paras indeks nasional (+0.7 peratus) pada Disember 2018 berbanding bulan yang sama pada tahun 2017.

Menurut DoS, indeks untuk makanan dan minuman bukan alkohol naik 3.9 peratus di FT Kuala Lumpur, diikuti Pulau Pinang (+1.0 peratus) dan Negeri Sembilan (+0.8 peratus).

Selangor dan FT Putrajaya merekodkan kadar yang sama seperti tahap indeks nasional bagi makanan dan minuman bukan alkohol, kata DoS.