Inflasi teras dalam jajaran 1.5-2.5 peratus tahun ini – RHB Research

Inflasi teras dalam jajaran 1.5-2.5 peratus tahun ini – RHB Research

RHB Research mengunjurkan inflasi teras akan berada dalam jajaran 1.5 peratus dan 2.5 peratus tahun ini berbanding satu peratus pada 2018, disebabkan oleh ketidaktentuan yang semakin meningkat harga minyak pada beberapa bulan kebelakangan ini.

Dalam nota penyelidikannya hari ini, Ahli Ekonominya, Vincent Loo Yeong Hong, berkata kerajaan mengapungkan harga minyak pada Januari 2019 untuk memperlihatkan penyusutan daripada US$80 (US$1=RM4.13) setong pada November 2018 kepada lebih US$60 setong pada masa ini.

“Bagaimanapun, kami melihat tekanan terhadap inflasi mungkin berlaku pada setengah tahun kedua disebabkan harga minyak yang tinggi kerana pemotongan pengeluaran oleh Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sukutunya,” katanya.

Jabatan Perangkaan hari ini mengumumkan bahawa, Indeks Harga Pengguna (CPI) yang mengukur inflasi teras, meningkat 0.2 peratus pada Disember 2018 kepada 121.1 berbanding 120.9 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Menurut jabatan berkenaan, peningkatan dalam indeks secara keseluruhan disebabkan oleh harga rumah, air, elektrik, gas dan bahan api lain yang tinggi (+2.0 peratus), restoran dan hotel (+1.3 peratus), minuman beralkohol dan tembakau (+1.1 peratus), pendidikan (+1.1 peratus) serta makanan dan minuman tidak beralkohol (+0.7 peratus).

Bagaimanapun, pada asas bulanan, CPI meningkat 0.1 peratus berbanding November 2018 sementara CPI untuk tempoh Januari-Disember 2018 mencatatkan peningkatan 1.0 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

— BERNAMA