Ingat dekat luar negara, insiden ‘rider’ cedera kena benang rupanya berlaku di SUKE

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang pemuda tidak menduga perjalanannya menggunakan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) bakal berakhir dengan ‘tragedi’.

Tampil membuat perkongsian di platform media sosial X, lelaki yang dikenali sebagai Muas Rosdi itu mendakwa dagunya cedera akibat terkena benang melintang di jalan.

Menurut Muas, kejadian mendebarkan itu berlaku pada 13 Mei lalu selepas pemuda terbabit melalui jalan susur keluar ke Taman Kosas menghala arah Tol Bukit Teratai.

Kejadian dipercayai berlaku sekitar pukul 6.30 petang dan Muas turut memuat naik gambar memaparkan kecederaan yang telah dialaminya menerusi hantaran sama.

Jari milik penunggang motosikal terbabit dikatakan turut tercedera ketika berusaha untuk menarik benang berkenan daripada terus ‘memotong’ dagu miliknya itu.

“Dagu aku terkoyak akibat terkena benang yang melintang di jalan Lebuhraya SUKE (selepas susur keluar Taman Kosas, Ampang) menghala ke tol Bukit Teratai,” katanya.

Tular di media sosial, perkongsian Muas turut mendapat perhatian penyanyi rap yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman.

Wakil rakyat yang lebih mesra disapa Altimet itu berjanji akan mengusulkan kejadian tersebut terus kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di dalam sesi ‘town hall’.

Dalam perkembangan terbaharu, Muas memberitahu pihak pengurusan SUKE telah menghubunginya untuk mengambil keterangan berhubung kejadian mengerikan itu.

Muas juga difahamkan sudah tampil membuat laporan polis di Balai Polis Trafik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya pada sekitar pukul 10.21 pagi tadi (Rabu).

“Harapnya rondaan untuk semak keadaan jalan dapat diperbanyakkan selepas ini.” Ulas pemuda berkenaan ketika memberikan perkembangan kejadian itu di laman X.

Sekadar makluman, insiden yang dialami oleh Muas di lebuh raya DUKE itu pernah juga berlaku kepada pengguna jalan raya lain pada bulan September, tahun lalu.

Mangsa ketika itu dilaporkan terkena tali tangsi yang diletakkan melintang di tengah-tengah lebuh raya sehingga lehernya cedera dan meninggalkan kesan kemerahan.

Baca juga: ‘Ikan free!’, lepas ayam dan beras, geng lelaki bertopeng ini datang bawa ikan siakap pula