Malaysia Dateline

Ingatkah kita lagi kepada bekas Ketua SPRM yang menangis di New York

Ingatkah kita kepada Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mohd Shukri Abdull, apabila meletakkan tekad menyiasat dan mendedahkan skandal SRC International Sdn Bhd beberapa tahun yang lalu.

Beliau diekori serta dijejak hingga ke luar negara serta diugut seolah-olah seperti menyaksikan babak dalam filem aksi.

Mohd Shukri menempuhi jalan yang berliku hanya kerana memilih untuk jujur dalam melaksanakan tugasnya ketika itu.

Beliau bersama Tan Sri Abu Kassim berjuang bersungguh-sungguh untuk menyiasat dan dapatkan balik wang rakyat yang dicuri tetapi kesudahannya, mereka pula dituduh pembelot.

“Saya terpaksa melarikan diri ke Washington, Amerika Syarikat. Sampai di sana pun ada orang ekori saya, memaksa saya lari ke New York pula.

“Bayangkan, saya menangis macam budak-budak di New York, di depan Mat Saleh di sana. Saya terlalu sedih kerana sayangkan SPRM, saya rasa sangat bersalah,”katanya.

Beliau yang ketika itu menjawat jawatan sebagai Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, bersama Tan Sri Abu Hassan, menemui ramai menteri dengan harapan ada sesuatu yang dapat dilakukan mereka.

“Saya bukan sesiapa, saya tak ada kepentingan pun. Saya dan Tan Sri jumpa begitu ramai menteri dan suarakan kebimbangan serta maklumat yang kami ada. Kami cuba yakinkan mereka, kes 2.6 bilion ini bukan kisah dongeng,” katanya.