Ketika ini drama yang sedang ditayangkan di Astro Ria iaitu Khunsa arahan Syahrulezad Mohameddin menjadi antara drama yang menerima banyak respon panas dalam kalangan penonton.
Namun di sebalik cerita mengenai seorang kanak-kanak yang dilahirkan dengan dua alat kelamin, ramai yang tidak tahu siapakah penyanyi untuk OST drama Khunsa itu.
Siapa sangka selepas hampir sedekad menyepi dari industri muzik, penyanyi Mila Jirin akhirnya muncul semula dalam industri dan menjadi individu yang bertanggungjawab untuk mendendangkan lagu untuk drama tersebut.
Menurut Mila, dia sedar sudah lebih lapan tahun dia tidak merakamkan sebarang lagu, justeru katanya, peluang yang diberikan untuk menyanyikan lagu utama drama Khunsa tidak boleh dilepaskan begitu sahaja.
“Sebenarnya lebih lapan tahun saya tidak hadir dengan lagu baharu dan apabila ditawarkan semula, saya rasa ini masa yang sesuai untuk kembali kepada industri muzik tanah air.
“Banyak perkara yang saya korbankan dalam tempoh berkenaan tapi rindu saya untuk aktif semula tidak pernah sesekali padam.
“Selama ini saya hanya menyanyi untuk majlis pelanggan di Bizmilla Wedding Centre sahaja. Saya berkorban minat yang satu ini semata-mata mahu memberikan tumpuan kepada keluarga dan bisnes,” katanya.
Mila mengakui, dia menuruti permintaan suaminya, Ahmad Ailis yang mahu dia berehat menyanyi sejurus dikurniakan cahaya mata, Arif Zikri tujuh tahun lalu.
“Memang saya gembira sangat dan kembali merakamkan lagu dan berharap Sandera ini akan diterima baik oleh pendengar seterusnya mengembalikan nama Mila Jirin kepada industri,” tambahnya lagi.
Bercerita lebih lanjut Mila berkata, pada awalnya dia hanya membuat rakaman semula lagu Dawai untuk media sosial secara suka-suka.
Namun tidak disangka apabila video tersebut tular sehingga menarik minat Amylea Azizah yang mencipta sepenuhnya lirik lagu Sandera.
“Pada asalnya saya hanya membuat rakaman semula lagu Dawai untuk media sosial sahaja. Tak sangka pula video berkenaan tular sehingga menarik minat Amylea.
“Dia hubungi saya dan memberikan tawaran sebuah naskhah baharu untuk Khun:sa. Bila mendengarkan sahaja tajuk itu, itu sudah memberikan seribu satu persepsi kepada saya.
“Apabila mendengarkan kisah di sebalik Sandera, saya tidak boleh menolak. Ini memang peluang terbaik yang tidak harus dilepaskan dan yang saya tunggu selama ini, saya sangat gembira akhirnya berjumpa lagu yang sangat saya impikan dalam genre balada dan menonjolkan vocal saya,” katanya.
Juara Akademi Fantasia musim kelima ini juga ialah produser bagi lagu ini menerusi Bizmilla dan bersyukur dapat bekerjasama dengan Sony Music Malaysia.
Lebih istimewa, Mila turut merancang untuk melakukan persembahan A Night With Mila Jirin di dewan banquet Bizmilla bersama peminat.