Penulis sudah lama perasan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di lebuh raya sepanjang pulang dari Selangor ke Johor, sudah lama tak nampak bayang.
Tertanya juga sudah dimansuhkan ke kamera ini? Hairan dan lega juga.
Tapi banyak kali perasan terdapat satu tiang panjang berwarna hitam menyerupai tiang elektrik yang berdiri di tepi lebuh raya.
Penulis membuat kesimpulan kamera AES ini mungkin sudah diganti dengan ciri lebih canggih, dan memang diubah supaya ianya sukar dikesan pengguna lebuh raya.
Jika diperhatikan, kamera baharu kali ini kelihatan seperti tiang lampu biasa yang dicat dengan warna hitam dan dipasang di lokasi strategik di tepi jalan raya serta lebuh raya.
Ia dijenamakan kepada Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS).
Seorang Pakar automotif berkata, sistem AwAS sebenarnya setara keberkesanannya dengan AES yang pernah dipasang oleh JPJ sebelum ini, serta mana-mana sistem kamera pengawasan had laju lainnya.
Hezeri Samsuri berkata, keistimewaan sistem AWAS adalah keupayaannya untuk mengukur purata kelajuan kenderaan dari titik A ke titik B, dengan lebih efektif dan sesuai dipasang di lokasi yang sering berlaku kemalangan.
“Apa yang berlaku adalah, kamera di Titik A akan mengambil gambar nombor pendaftaran kenderaan, dan gambar seterusnya akan diambil apabila kenderaan itu melintasi kamera di Titik B. Sistem komputer akan mengira purata kelajuan kenderaan berdasarkan bukti bergambar,” katanya menurut Sinar Harian.
Antara kelebihan utama kamera AwAS berbanding AES adalah keupayaannya untuk memantau lalu lintas dari semua arah atau dalam 360 darjah.
Sistem AwAS juga dilengkapi dengan teknologi pengesanan nombor plat kenderaan secara automatik (ANPR), yang bukan sahaja memastikan kamera berfungsi dengan lebih baik malah, memudahkan JPJ untuk mengeluarkan saman kepada pesalah lalu lintas. Ini termasuk kesalahan seperti memandu secara berbahaya, melulu, melebihi had laju atau melanggar lampu isyarat merah.
Selain itu, kamera AwAS ini turut dilengkapi dengan fungsi tambahan seperti penguatkuasaan had laju, pengesanan pusingan U yang tidak sah dan pemantauan lampu isyarat.