Malaysia Dateline

Ingatkan Kartel Daging sahaja

Ingatkan ada ‘Kartel daging’ sahaja, rupanya ada ‘Kartel Polis’, kata bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Salahuddin Ayub berikutan pendedahan Ketua Polis Negara.

SALAHUDDIN AYUB

Timbalan Presiden AMANAH itu berkata demikian ketika mengulas laporan khas muka depan akhbar Sinar Harian hari ini yang bertajuk “Kartel dalam PDRM cuba jatuhkan saya,” kataTan Sri Abdul Hamid Bador.

Bagi Salahuddin, kenyataan ini satu kenyataan yang serius dari Tan Sri IGP.

“Ingatkan kartel daging sahaja. Ini berlaku pula dalam institusi keselamatan negara,” kata beliau.

Sehubungan dengan itu, Salahuddin bertanya badan manakah yang ada autoriti untuk siasat?

“IPCMC atau RCI ? Mr PM tolong jawab,” kata Salahuddin menuntut agar perkara ini dijelaskan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut Sinar Harian, kata Hamid Bador, kartel dalam PDRM ini didalangi oleh sekumpulan pegawai muda dalam polis sendiri.

Mereka cuba melakukan gerakan menjatuh dan mengaibkan Ketua Polis Negara, Hamid Bador.

Mereka juga mahu menguasai pasukan keselamatan negara untuk memudahkan mereka melakukan kerja-kerja kotor, lapor Sinar lagi.

Kartel Daging pula adalah kumpulan yang cuba mempertahankan kedudukan daging import dalam pasaran negara ini tanpa digangugugat oleh undang-undang atau industri penternakan lembu tempatan.

Mereka digerakkan oleh ahli perniagaan dan juga pegawai kanan kerajaan yang mendapat manafaat hasil kerjasama mereka selama ini.