Malaysia Dateline

Ingkar SOP: Majlis kahwin anak MP Jelebu antara kes baharu disiasat polis

Terdapat tiga kes baharu yang diterima dan diambil tindakan oleh pihak polis berhubung orang kenamaan (VIP) yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, kes terbabit ialah majlis perkahwinan anak perempuan Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias di Seremban dan lawatan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke sebuah kem tentera di Sendayan.

Jelasnya, satu kes lagi adalah acara kayuhan basikal yang turut dihadiri Menteri Perumahan dan Kajian Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin di ibu negara.

Zuraida merasmikan Program Malaysia Prihatin Norma Baharu Berekreasi di Taman Persekutuan Bukit Kiara, Kuala Lumpur, 13 Mac lalu.

“Ketiga-tiga ini dalam tindakan kami, seperti sedia maklum untuk kes melibatkan (Datuk) Zuraida, kenyataan telah dikeluarkan oleh Ketua Polis Daerah Brickfields yang menyatakan pematuhan SOP telah dilaksanakan. Kami akan merakam percakapan Ketua Polis Daerah Brickfields itu sendiri bagi mengesahkannya.

“Bagi kes melibatkan (Datuk Seri) Ismail Sabri, kami juga akan merakam (percakapan) penganjur majlis tersebut, kita tengok daripada laporan media, itu adalah lawatan rasmi tapi kerana sudah ada laporan, kami akan merakam (percakapan),” katanya.

Huzir menjelaskan bagi kes majlis perkahwinan di Seremban, pihak polis juga telah merakam percakapan pihak hotel yang menjadi lokasi majlis yang berlangsung pada 14 Mac itu.

“Kami akan semak sekiranya berlaku pelanggaran SOP, pegawai yang menyiasat akan buat laporan dan pihak polis akan mengambil tindakan sewajarnya.

“Kenyataan daripada pihak hotel tersebut telah diambil semalam (kelmarin) dan kenyataan pihak-pihak lain juga akan dirakam,” katanya lagi.