Malaysia Dateline

Ingkar titah Sultan, Pas Selangor agih daging korban di masjid

Pas Selangor dilihat mengingkari titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah apabila mengagihkan daging korban di Masjid Darul Tahsis, Kampung Melayu Pulau Carey kelmarin.

Laman Facebook (FB) Jabatan Amal Malaysia (Original) memberitahu program korban sayap Pemuda parti itu diagihkan kepada penduduk Kampung Melayu Pulau Carey dan asnaf sekitar kawasan Kuala Langat.

Menurut laman itu, sebanyak lima lembu telah dikorbankan dan dua daripadanya adalah sumbangan dari Pejabat ADUN Sijangkang, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi selaku Pesuruhjaya Pas Selangor.

“Dalam mematuhi SOP (prosedur operasi standard) PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan) kali ini, pihak penganjur telah melaksanakan penyembelihan di Pusat Penyembelihan berpusat di Banting dan kemudian dibersihkan dan dibawa ke masjid untuk urusan pemotongan bahagian dan agihan,” dipetik dari laman FB itu.

Turut hadir pagi kelmarin, Ketua Pemuda Pas Selangor, Ustaz Hanafi Zulkapli; Timbalannya, Ustaz Mohamed Shukri Omar dan Naib Ketua, Muhammad Fadzli Abu Bakar.

Selain itu, Ketua Penerangan Pas Selangor, Ustaz Syarhan Humaizi Halim menyantuni para pertugas bersama pimpinan dari Muafakat Nasional, Pergerakan Pemuda Umno Negeri dan Bahagian Kuala Langat .

“Program ini merupakan program usahasama Jabatan Amal Malaysia Negeri Selangor dan Lajnah Kebajikan Pemuda Pas Selangor bersama Pemuda Pas Kuala Langat dan juga Pejabat YB ADUN Sijangkang,” kata laman itu lagi.

Mengulas tindakan itu, Ketua Pemuda AMANAH Kuala Langat, Wan Afiq Danish menegaskan penganjuran ibadat korban itu secara jelas bercanggah dengan titah Sultan Selangor yang melarang program-program politik dijalankan di masjid-masjid di seluruh negeri itu.

Untuk rekod, Sultan Sharafuddin dalam Majlis Istiadat Pengurniaan Tauliah Nazir dan Imam-Imam Negeri Selangor pada 3 Mac tahun lalu bertitah supaya nazir, imam dan AJK masjid hendaklah sentiasa mematuhi Enakmen, Peraturan-Peraturan Masjid Dan Surau (Negeri Selangor) Tahun 2017, Garis Panduan serta Pekeliling dan Arahan yang dikeluarkan dari masa ke semasa oleh MAIS dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Sebelum itu lagi, MAIS dalam satu kenyataan pada 17 April 2018 menegaskan masjid dan surau tidak boleh dijadikan tempat kegiatan politik dan yang boleh memecah-belahkan perpaduan ahli kariah, selain larangan menggantung atau memacak bendera politik di bangunan utama, kawasan masjid termasuk pagar masjid.