Ini 3 petua orang lama untuk gadis bermisai, tak sangka telur boleh tanggalkan bulu!

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang pengguna platform Facebook berjaya mencuri tumpuan ramai selepas berkongsi satu petua berguna khusus buat para gadis yang ‘bermisai’.

Oleh kerana misai merupakan lambang kejantanan buat para lelaki, para gadis pastinya merasa tertekan apabila bulu berkenaan mula tumbuh di atas bibir manis mereka.

Disebabkan amalan bercukur tidak sesuai untuk semua orang, pemilik akaun Sis Beautysecret tampil berkongsi petua orang lama menghilangkan misai secara semula jadi.

“Pasti ada antara kita yang perempuan ini memiliki misai di atas bibir mereka kan? Kalau halus tidak mengapalah. Tetapi ada juga yang bermisai lebat sampai orang perasan dan tegur. Aduh, malunya!

“Nak CUKUR boleh ke? Tidak! Kalau anda semua cukur, nanti bertambah panjang dan semakin teruk kulit di atas bibir. Sebenarnya ada beberapa petua yang kamu semua boleh amalkan.

“Keadah ini boleh membantu bagi menghilangkan bulu-bulu halus pada atas bibir dan juga pada muka dengan sendirinya,” kata pemilik akaun menerusi satu hantaran tular yang dimuat naik di platform Facebook.

1. Susu dan kunyit

Campur satu sudu serbuk kunyit bersama satu sudu susu sehingga menjadi pes. Kemudian, sapukan pada bahagian atas bibir.

Biarkan ia kering, kemudian baru dibilas. Petua ini anda boleh lakukan dengan kerap sehingga bulu misai hilang.

2. Putih Telur

Masukkan satu sudu serbuk kunyit dalam telur putih yang sudah dipukul. Sapu pada misai dan biarkan antara 45 hingga 60 minit.

Setelah itu, baru tanggalkan lapisan masker tersebut. Petua ini perlulah dilakukan sekurang-kurangnya empat kali seminggu.

3. Tepung Jagung

Campurkan 10 mililiter (ml) jus lemon, 150 ml air, dengan 30 gram tepung jagung. Ia akan menjadi larutan yang likat.

Sapukan pada bahagian muka dan biarkan sampai kering dalam 15 minit. Tarik lapisan masker sebelum dibilas dengan air bersih.

Para wanita juga perlu diingatkan agar tidak mencukur misai mereka untuk mengelakkan bulu menjadi lebih lebat.

Buat para pembaca yang berhasrat mencuba salah satu daripada petua ini, jangan lupa untuk memeriksa terlebih dahulu reaksi anda pada bahan digunakan. Takut alahan!

Baca juga: Disangka lemas, anak pelakon dibenam 12 kali dalam kolam renang oleh kekasih ibu