Seorang wanita tidak pernah menyangka dirinya bakal berdepan dengan masalah rumah tangga selepas memutuskan untuk menikah semula di usia 40-an.
Walaupun baru melangsungkan perkahwinan setahun lalu, wanita dikenali sebagai Lufi itu mengakui memang sering berlaku salah faham antara dirinya dan juga suami.
Hal ini kerana, suami Lufi dikatakan mempunyai hati yang begitu sensitif selain suka meletakkan kesalahan ke atas isterinya setiap kali berlaku masalah antara mereka.
Khuatir jika diri sebenarnya sedang didera secara mental oleh suami sendiri, berikut perkongsian Lufi yang semakin hilang arah dalam mencari jalan keluar dari masalahnya.
“Saya Lufi, seorang wanita berusia 40-an. Baru genap setahun kahwin dengan lelaki berstatus duda. Sebelum ini, saya adalah balu selama lima tahun selepas pemergian suami pertama. Untuk makluman, suami pertama adalah seorang ahli perniagaan. Dengan erti kata lain, hidup kami senang dan bahagia.
“Selepas pemergiannya, saya berkahwin dengan seorang duda yang mempunyai dua orang anak. Masing-masing sudah berumah tangga. Saya namakan dia Labu. Umur Labu lewat 50-an. Dia memiliki sebuah perniagaan kedai runcit. Isterinya meninggal dunia akibat Covid-19. Atas bantuan kawan-kawan, kami bertemu.
“Daripada pertemuan itu kami bersetuju untuk mendirikan rumah tangga. Pada awal perkahwinan, kami suami isteri telah berikrar untuk saling menjaga hati dan perasaan setelah ditinggalkan pasangan. Kematian pasangan meninggalkan duka kesedihan yang amat mendalam. Oleh itu, kami berdua amat memahami.
“Masing-masing menjadi ‘cermat’ ketika berbicara takut-takut mengguris perasaan. Saya pernah bekerja di bahagian pemasaran di sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Tetapi saya bertekad berhenti kerja dan pulang ke kampung halaman selepas kematian suami serta mengalami ‘brain fogging‘ kesan jangkitan Covid-19.
“Keadaan kewangan juga sudah stabil dan bebas dari sebarang komitmen hutang. Setelah berhenti kerja, kos kehidupan ditanggung sepenuhnya oleh simpanan ASB yang maksimum. Berkahwin dengan Labu yang memiliki kedai runcit merupakan satu peluang baik untuk asah semula kemahiran dan kepantasan otak yang terjejas.
“Labu mengetahui kedudukan kewangan saya yang tak perlu bergantung kepadanya 100 peratus. Tetapi dia menyerahkan hal kewangan kedai untuk saya uruskan. Hasil jualan, untung, semuanya diserahkan kepada saya. Labu tak kisah sangat mengenai kewangan kerana sebelum ini arwah isterinya yang menjaga akaun kedai.
“Sebagai suami, dia memang terbaik. Lemah-lembut dan banyak ikut sunnah nabi. Sebagai bapa dan datuk pula memang masuk kategori mithali. Nampak baguskan? Tetapi kerap terjadi salah faham antara kami. Antaranya berpunca daripada urusan kedai runcit milik Labu.
“Kedai ini mula beroperasi jam 7 pagi. Maknanya setelah solat subuh kami akan terus ke kedai. Lambat sedikit, beraturlah pelanggan setia di depan pintu. Labu sangatlah menjaga pelanggannya. Kalau boleh, dia mahu pastikan kedai dibuka seawal-awal mungkin. Saya pula tentulah sibuk membantu.
“Dalam sibuk-sibuk itu, mestilah muka serius. Nama juga fokus. Bakul kentang dan segala jenis bawang perlu diangkut dari belakang sebelum disusun elok-elok di rak hadapan. Satu hari itu, memang penat. Lutut dan pinggang macam terseliuh sedikit sebab panjat tangga. Saya pun mengadu dekat Labu, tetapi dia cuma diam.
“Selepas sejam kedai beroperasi, saya perasan Labu mula tunjuk bad mood. Muka kelat tiada senyuman kecuali kepada pelanggan. Kalau minta saya ambilkan barang di stor pun, dia seperti menggumam atau menelan perkataan. Sehinggakan terpaksa minta dia ulang sebut barang apa yang perlu diambil.
“Riak mukanya seperti tak sudi melihat wajah saya. Saya memang mengaku, muka ini memang masam mencuka waktu buat kerja. Angkat benda berat kot, takkan nak sambil menyengih? Keadaan itu berlanjutan sampai kami balik rumah. Seperti biasa, saya akan masak dan hidangkan nasi untuk makan bersama.
“Tiba-tiba Labu terus masuk bilik solat dan tidur di situ. Saya biarkan sahaja, tetapi dalam hati terasa sangat sedih diperlakukan sebegitu. Iyalah, sudahlah saya yang menolongnya di kedai. Tetapi dia tak pandang pula muka isteri. Penat, lima ke enam jam kerja berdua di kedai runcit. Tiba-tiba suami buat tak tahu.
“Sabar sahajalah. Tetapi seperti biasa, saya biarkan dia tenang. Tunggu sahaja dia yang terangkan sendiri. Masuk tiga hari tunggu dia bercakap atau memandang muka saya. Tetapi tiga hari itulah dia tak ajak ke kedai runcit, solat jemaah, atau makan. Dia biarkan saya keseorangan di rumah dan tertanya-tanya sendirian.
“Lauk tengahari saya sediakan tetapi tak pula disentuh. Dia diam, saya lagi lah diam. Tak tahu nak bertindak-balas. Satu hari Labu balik dari kedai, cari nasi. Saya terus tarik tangan dia dan tanya ‘Abang ok, sudah boleh cakap dengan saya?’ Labu larikan matanya. Dia cuma kata tak perlu dipanjangkan.
“Waktu itu, labu ambil pinggan dan cedok nasi sebelum terus ke meja makan. Saya? Terpinga-pinga. Malu pun ada, terhegeh-hegeh tetapi tidak dilayan. Selepas itu, dia masuk bilik solat untuk beribadah dan tidur di situ lagi. Sedih kan? Tetapi buat apa layan sedih sangat. Akhirnya saya hidupkan kereta untuk pergi ke bandar.
“Di bandar, saya trim rambut dan lepak minum air latte di kafe untuk layan emosi kasi tenang. Akhirnya setelah tiga hari berlalu, barulah Labu masuk ke bilik kelamin kami. Katanya dia ‘sangat-sangat terasa hati’ dengan saya. Makan dan minum dia terabai. Kononnya saya gelakkan dia waktu kelaparan nak makan nasi.
“Saya cuba terangkan kejadian yang dia bermasam muka dan juga mood-swingnya di kedai hari itu. Jawab Labu, masam muka itu sebab ‘rasa bersalah’ susahkan isteri barunya setelah berkahwin dengannya. Tanya lagi perangai saya yang tak disukainya supaya tidak diulang lagi di masa hadapan.
“Labu ungkit semua kesalahan seperti bawa kereta laju, langgar bonggol tak tekan brek, pergi bandar tak minta izin, tak buat kopi, tak masak hinggalah tak bawa cucu dia beli baju sekolah. Sambil dengar semua senarai kesalahan itu, saya cuma tekup muka guna telekung, menangis. Dalam hati rasa kelakar juga.
“Bayangkan, tua-tua bangka masih kena syarah macam zaman sekolah. Tapi kali ini tak berani senyum nanti dia kata tak hormat pula. Sepanjang perbincangan tersebut, saya hanya banyak menangis sahaja. Sebab saya rasa, itulah reaksi yang Labu suka tengok. Kalau tenang, nanti dia pula menangis sambil hentak kepala di dinding.
“Masa mula-mula kahwin, pernah terjadi salah faham juga. Akhirnya, dia menangis meratap di dinding. Jadi kali ini, saya puaskan hati Labu dengan menangis meleleh-leleh air mata. Sedih memang sedih, tetapi lebih terkesima kenapa akhirnya saya yang dipersalahkan. Sebelum keluar, Labu beri kata dua supaya buat keputusan.
“Labu beri pilihan untuk terus di dalam perkahwinan atau tinggalkan dia sahaja. Saya terkejut sangat. Ini bukan tujuan asal menjarakkan atau memencilkan diri. Saya cuma bertindak-balas berdasarkan kelakuan dingin dia secara tiba-tiba. Selepas itu, Labu masuk ke bilik solat dan tinggalkan perbualan kami.
“Pening dibuatnya, akhirnya saya juga yang salah? Berdasarkan penjelasan Labu, dia rasa bersalah sebab susahkan hidup saya. Arwah suami dahulu hidup senang, jadi saya tidak perlu buat kerja berat seperti sekarang. Labu rasa dia ‘loser’. Bila mengadu sakit kaki, sakit badan, bertambah sedih dia rasa.
“Labu rasa bersalah sebab perlu bantuan isteri. Sebab itu Labu bermasam muka (dia kata bermuka sedih). Katanya lagi, saya yang salah faham dan bereaksi berlebihan. Berkurung dalam bilik dan abaikan dia. Sekarang saya ini sudah keliru. Saya ke yang salah? Walaupun diakui otak ada masalah ingatan, tetapi kewarasan masih ada.
“Salah faham antara kami memang sering berlaku. Cuma kali ini berlarutan panjang. Mula perasan juga semua punca akhirnya dirunding kepada saya. Perasaan bersalah dan ‘takut buat salah’ perlahan-lahan terbina sehinggakan nak bercakap pun perlu susun ayat baik-baik agar tidak mencalar hatinya.
“Saya mula risau untuk berkongsi sebarang perasaan negatif seperti penat, letih, tak larat sebab takut akan bangkitkan ‘rasa bersalah’. Sekarang saya jadi tertanya-tanya inikah ciri-ciri suami gaslighting (sejenis penderaan mental) atau sekadar over-protective?.” Soal Lufi.