Malaysia Dateline

Ini baru kisah 1 Jun, entah apa jadi tiga, empat bulan lagi

Naik 30 sen mulai hari ini.

“Bos, lagi 30 sen”. Itu kata penjual akhbar kepada saya pagi tadi yang mahu berlalu meninggalkan kedainya.

Ya. Sinar Harian sudah naik 30 sen menjadi RM1.80. Hanya daripada segi pemasaran, akhbar itu bijak apabila di muka depannya tertera “masih paling murah di pasaran”.

Premis paling murah itu juga ditekankan Ketua Pengarang Kumpulan & Ketua Pegawai Pengisian Sinar Harian, Rozaid Rahman memandangkan akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian sudah lama dijual RM2 senaskhah.

Selepas membelek helaian dan membaca beberapa artikel dimuatkan dalam Sinar Harian, saya pergi ke ‘kedai Acheh’ yang memang menjadi tumpuan penduduk Bukit Sentosa, Hulu Selangor untuk belanja lauk dan dapur.

Bagusnya, kedai tersebut sebelum ini, jika jumlah barangan yang dibeli kurang 50 sen di hujungnya, petugas mereka di kaunter tidak pernah pun berkira.

Contohnya, jika semua barangan dibeli jumlahnya RM45.30, dia kira RM45 sahaja. Ibarat dapat diskaun. Mungkin itu sebabnya kedai di tengah pekan itu sentiasa sibuk dengan pelanggan selain banyak pilihan dan lokasi yang strategik.

Namun, pagi tadi, buat saya sedikit ‘murung’. Jam masih pukul 10 tetapi ayam yang tinggal nampak seperti burung puyuh saiznya. Hal sama juga yang dikeluhkan beberapa orang pelanggan yang singgah di tempat menjual ayam.

Terpampang di sebelah pekerja kedai itu, “Ayam 1 kg RM8.90” diikuti pemberitahuan “upah potong 1 ekor 80 sen”.

Sebelum Hari Raya, mana ada upah potong ayam.
Upah potong ayam 80 sen kerana peniaga terpaksa akur harga kawalan RM8.90 sekilogram.

Saya cuba mengajak tukang potong ayam itu berbual sementelah pelanggan agak kurang tidak seperti hari Sabtu dan Ahad yang tidak menang tangan dibuatnya.

Serentak itu, ada seorang, dua kaum ibu mengomel berputar isu saiz ayam yang dijual macam tidak sempat besar sudah disembelih sambil kedengaran sedikit ketawa pahit. Ayam yang putus kepala dan hitam kakinya juga ada sama diletakkan.

Salah seorang daripada mereka meletakkan tiga ekor ayam di hadapan tukang potong itu sambil katanya kepada rakan lawannya bercakap tadi, dia terpaksa ambil banyak disebabkan kecil.

Namun, tukang potong itu meletakkan kembali seekor di tempat jualan.

“Maaf, kak. Hanya seorang (pelanggan) boleh beli maksimum dua (ekor ayam) saja,” katanya.

Sudah! Ayam pun kena catu! Getus hati saya sambil memerhati.

Walaupun menteri kata bekalan ayam semakin stabil tetapi realitinya tidak.

Kata pemuda tukang potong ayam itu, hari-hari biasa sebelum ini bekalan ayam yang diterima daripada pembekal berjumlah 300 ekor sehari.

“Tapi sekarang 150 ekor saja, bang,” katanya sambil membuang kulit dan memotong ayam yang saya mahu beli.

Di kaunter bayaran pula, pekerja lain yang memang biasa saya berurusan sebelum ini seakan-akan mengadu dilema yang sedang peniaga hadapi sejurus saya membuka mulut tentang ayam yang dijual tidak ‘semenggah’.

“Ayam yang sampai pada kami pun dah RM8.90 sekilo. Lepas tu kami kena jual RM8.90 juga. Macam mana kami nak hidup,” katanya dua kali mengulang sambil menimbang ikan dan sayur yang saya beli.

Tambahnya lagi, upah potong 80 sen seekor itu masih lagi rendah berbanding sebuah pasaraya terkenal, dakwanya, upah potong ayam mencecah RM1 per kilogram.

Sambil menuju ke kereta selesai menjelaskan bayaran, saya meneliti resit diberi. Ya, rata-rata harga ikan juga naik. Bukan sen naiknya tapi ringgit!

Ikan sardin saiz sederhana biasanya jika beli lapan ekor hanya RM15 tapi hari ini sudah jadi RM18! Belum campur ikan dan sayuran yang lain lagi.

Saya kemudiannya bersama ibu singgah di kedai perabot yang sebelum ini lazim kami kunjungi sebelum pandemik Covid-19 memandangkan harganya sedikit rendah malah mudah mendapat diskaun berbanding kedai lain.

Namun, tempias rantaian kenaikan harga juga nampaknya sudah berjangkit. Ibu saya yang sudah menghampiri usia 70 tahun mahu beli kerusi yang lebih stabil untuk digunakan semasa solat duduk.

“Alah, bolehlah kurang sikit tauke. Biasa dapat kurang,” kata ibu saya separa merayu dalam misi tawar-menawar pada tuan kedai perabot Cina itu.

Serentak itu juga, penjual wanita muda yang mungkin anak kepada tauke kedai perabot itu beberapa kali juga memohon maaf kerana tidak dapat mengurangkan harga jualannya.

“Dulu bolehlah kasi kurang. Sekarang, masuk ini bulan, tak bolehlah makcik. Sorry ar makcik,” katanya dengan suara semacam bersalah selepas beberapa saat menekan kalkulator di depannya.

Saya hanya diam tidak mencelah sebaliknya hanya pasrah kerana peniaga terpaksa semakin berkira dengan pelanggan hatta yang setia.

Hampir dua tahun perniagaan sukar beroperasi seperti biasa. Mungkin peniaga perabot juga terkesan tambahan pula barang yang dijual bukan tertakluk dalam senarai harga kawalan.

Dalam perjalanan pulang ke rumah, saya singgah di gerai jualan air kelapa muda di tepi jalan utama yang memang sentiasa terpasang siaran radio IKIM.

Penjualnya, anak muda Kelantan itu sudah kenal dengan saya yang kerap membeli daripadanya. Apa lagi musim kemarau ini, elok minum air kelapa muda.

Seperti biasa, saya minta air kelapa yang asli tanpa gula dan tidak perlu ais juga tentunya bungkus ikat mati. Satu untuk saya dan satu untuk ibu saya.

Terdengar-dengar pula, peniaga itu menyebut dua bungkus minuman segar itu RM10 kesemuanya. Ya lah, tarikh 1 Jun sudah jadi macam pesta naik harga.

‘RM8 bang macam biasa,” katanya yang tidak memakai pelitup muka sambil tersenyum sebaik menyerahkan bungkusan air itu.

Meninggalkan gerai air kelapa muda itu, saya tertanya-tanya sampai bila dia akan bertahan dengan harga jualan RM4 sebungkus. Sudahlah isi kelapa dan air yang diberi agak banyak.

Apapun, ya. Hari ini 1 Jun buat saya semakin sedar, kita sebenarnya semakin dihimpit kenaikan kos harga barang yang semakin menggila. Entah apa akan terjadi untuk tiga, empat bulan lagi. Risau.

Banyak barang semakin mahal harganya pada ketika pendapatan begitu-begitu saja. Naiknya harga makanan dan barangan bukan sen tetapi ringgit. Rakyat juga yang hidupnya makin tersepit dengan segala hutang melilit.

Sebaliknya, menteri dan timbalan menteri yang ramai mungkin soal seputar Pilihan Raya Umum ke-15 kalut pakat menjerit. Hakikatnya, dompet rakyat majoritinya semakin sakit. Wakil rakyat pula hanya tahu sembang melangit.

Harga berbelas ringgit seperti ini tidak mustahil berpuluh nanti untuk bulan-bulan mendatang jika kerajaan terus gagal mengawal kenaikan harga makanan asas.
Walaupun Semenanjung dikelilingi laut tetapi harga hasil tangkapan marin terus melambung.