“Ini bukan dunia saya” – KJ beri bayangan nak kembali kepada politik, belum tentukan masanya

Oleh MAISARAH AISYA

Jika dilihat kepada penyampai radio, ada banyak yang berkualiti namun tidak popular atau menang anugerah kerana undian adalah lebih ke arah peminat.

Disebabkan itu semakin banyak artis yang menjadi penyampai radio meskipun tiada bakat dan hanya bergantung kepada peminat untuk menaikkan rating radio itu.

Baru setahun lebih menjadi penyampai radio, ahli politik Khairy Jamaluddin Abu Bakar menang trofi Penyampai Radio Popular Anugerah Bintang Popular ke-36 (ABP36).

Menurut Kosmo! Online, Khairy atau dikenali sebagai KJ menganggap industri seni sebagai tempat persinggahan dan akan kembali kepada dunia politik.

“Tak sia-sia saya melangkah masuk dalam dunia penyiaran radio ini sebab nampak okey (siap menang anugerah).”

“Saya rasa dunia baharu ini saya ‘singgah’ sekejap sahaja. Mungkin dalam masa sesuai saya akan kembali ke alam semulajadi (politik) saya.

“Itu saya belum tahu lagi cumanya saya sangat seronok dengan apa yang saya lakukan ketika ini,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu tidak menyangka dia akan memenangi anugerah untuk kerjaya yang baru berusia setahun lebih.

“Ini (penyiaran radio) bukanlah dunia saya, saya datang dari dunia yang lain tetapi dalam masa setahun, saya dah boleh belajar banyak benda dalam dunia baharu ini bersama dengan rakan-rakan yang banyak membantu.

“Kemenangan ini adalah kemenangan kami semua dan saya dedikasikan buat semua keluarga di Hot FM.”

“Sebagai orang baru dalam bidang media dan hiburan, saya memang tidak layak kalau bukan kerana sokongan dan bimbingan daripada rakan-rakan saya,” tambahnya.

Baca juga: Senario terharu dengan sokongan peminat, serah trofi ‘Artis Komedi Popular’ kepada waris arwah Hamdan