Malaysia Dateline

Ini bukan kerajaan PN, adakan kerjasama rentas parti, putus MT Umno

Majlis Tertinggi Umno yang bermesyuarat malam tadi mengambil ketetapan bahawa kerajaan yang ada sekarang bukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) tetapi meminta kerajaan menggunakan nama Keluarga Malaysia atau Kerajaan Malaysia.

Ini memandangkan kerajaan ini merupakan kerjasama politik longgar antara Barisan Nasional (Umno, MCA, MIC dan PBRS), Perikatan Nasional (Bersatu, Pas dan Star), GPS dan PBS.

Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataannya awal pagi tadi juga berkata, Umno juga akan menyahut seruan Yang Dipertuan Agong untuk mengadakan kerjasama dan pemuafakatan rentas parti bagi bersama-sama menangani kemelut ekonomi, pandemik Covid-19 dan kesejahteraan rakyat.

Kenyataan yang dibuat selepas mesyuarat Majlis Tertinggi itu juga memaklumkan Umno membuat ketetapan agar kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) bagi menyiasat pendedahan yang dibuat oleh bekas Peguam Negara, Tommy Thomas mengenai campur tangan politik dalam institusi Peguam Negara, Kehakiman dan Keselamatan.

Umno juga, kata Zahid mesti mempelopori usaha wujudkan Parlimen lebih efisien, Akta Lompat Parti dan lain-lain lagi.