Malaysia Dateline

‘Ini Dewan Rakyat, kalau nak buat ceramah pilihanraya, buatlah di Rompin nanti’

Datuk Seri Hasan Arifin (BN-Rompin) disindir sekiranya mahu membuat ceramah pilihanraya, sebaiknya buat di kawasan Parlimen beliau sendiri dan bukannya di Dewan Rakyat.

Semasa ucapan perbahasannya selama 10 minit itu tadi, Hasan Arifin membangkitkan tentang bagaimana keresahan rakyat akhirnya menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) terbubar dan dirampas kuasanya oleh gabungan Perikatan Nasional (PN).

Beliau juga berkata, kegagalan Menteri Kewangan ketika itu mengukuhkan keadaan ekonomi negara, menambahkan lagi keresahan rakyat.

Malah katanya, gerakan merampas kuasa persekutuan itu juga disebabkan mahu memulihkan keadaan negara.

Ia kemudiannya dibidas Sim Tze Tzin (PH-Bayan baru) yang berkata, ahli Parlimen BN itu seharusnya berhujah dengan fakta dan bukti yang lebih kukuh.

Malah katanya, jika sekadar mahu menghentam PH, MP BN itu dinasihatkan agar berceramah sahaja di kawasan beliau

“Saya rasa Rompin kalau nak berbahas di Dewan yang mulia ini, baiklah dengan fakta dan juga hujah yang lebih kukuh. Kerana saya rasa rakyat di luar mahu tengok apakah kerajaan Perikatan mahu buat.

“Sekadar nak hentam PH, buatlah ceramah-ceramah di Rompin. Ini bukan tempat Pilihanraya. Baiklah kita bahas dengan cara yang lebih memanfaatkan rakyat,” katanya lagi.