Ini Kabinet hadiah, kata Khir Toyo
"Nampak jelas Perdana Menteri kita amat menghargai orang-orang yang tidak setia dan suka melompat," katanya secara sinis menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Ini Kabinet hadiah, kata Khir Toyo

“Saya lihat kabinet ini (Tan Sri Muhyiddin Yassin) tidak lebih dari kabinet hadiah.”

Demikian label yang diberikan oleh bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo terhadap barisan jemaah menteri yang berada di bawah kepimpinan Muhyiddin ketika ini.

Menurut Khir Toyo, beliau melabel sedemikian kerana jawatan-jawatan dalam kabinet telah diberikan kepada mereka yang berjasa menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Kumpulan Azmin Ali seramai 10 ahli parlimen keluar Keadilan dan masuk Bersatu. Semua dapat jawatan, malah Azmin Ali mendapat jawatan Menteri Kanan dan bertaraf Timbalan Perdana Menteri.

“Kumpulan Hamzah Zainudin, kumpulan ini keluar Umno dan masuk Bersatu, semuanya juga mendapat jawatan kerajaan, malah jawatan menteri utama seperti Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dan juga Ekonomi.

“Kumpulan ahli parlimen daripada Bersatu iaitu kumpulan yang mengkhianati Tun Mahathir, mereka ini juga mendapat hadiah masing- masing.

“Nampak jelas Perdana Menteri kita amat menghargai orang-orang yang tidak setia dan suka melompat,” katanya secara sinis menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Khir Toyo menambah, ahli parlimen Umno dan Pas yang setia kepada parti, hanya mendapat kementerian yang tidak berhubung terus dengan rakyat.

Malahan katanya, ada satu kementerian kabinet PH dipecahkan kepada tiga kementerian untuk diagihkan kepada tiga ahli parlimen daripada Umno dan Pas.