“Ini ke kereta yang orang panggil Tricil?” – Perodua Kancil ‘runner’ makanan ini curi tumpuan

Oleh WAN SITI AMINAH

Baru-baru ini tular satu rakaman memaparkan sebuah kereta Perodua Kancil tanpa atap di bahagian belakang, cermin dan bampar hadapan dipandu berdekatan kedai makan di Gua Musang, Kelantan.

Mana tidaknya, kenderaan yang dilihat ‘serba kekurangan’ itu tampak seperti mampu berfungsi dengan baik malah boleh dipandu dengan laju sekiranya mahu cepat sampai ke destinasi.

Perakam video turut memaklumkan bahawa kenderaan Perodua Kancil itu juga boleh digunakan oleh penghantar makanan untuk mengirim pesanan kepada pelanggan dengan pantas.

Namun tidak dapat dipastikan bahawa rakaman berdurasi 30 saat yang dimuat naik menerusi platform TikTok itu hanyalah sekadar ‘content’ untuk bersuka-suka mahupun sebaliknya.

“Penghantar makanan macam ini tidak perlu risau, tidak sempat lapar pelanggan kita,” tulis perakam video dalam ruangan kapsyen hantaran yang dimuat naik menerusi akaun @elisha_elieaaa itu.

Tinjauan mendapati perkongsian tersebut sudah meraih lebih dari setengah juta tontonan dan 32,100 tanda suka daripada pengguna TikTok yang mengakui terhibur menonton rakaman tersebut.

Ramai juga pengguna tidak melepaskan peluang untuk meninggalkan komen mencuit hati selepas melihat keadaan Perdua Kancil serba kekurangan itu termasuklah pintu kereta yang perlu diikat.

“Inikah yang orang panggil Tricil (Triton+Kancil). (Kereta) kena sumpah ke? Tolong ikat pengelap cermin hadapan itu sekali. Takut terkena tuan kereta yang duduk di dalam itu sahaja,” seloroh seorang pengguna.

“Padu kereta Kak. Cermin habis hilang. Yang pentingnya ada cermin lagi di bahagian pemandu. Berpintu dua pula. Kereta macam ini tiada dijual di kedai. Pintu perlu diiikat kemas dahulu. Takut jatuh dengan pemandu sekali.” Cuit pengguna lain.

Walaupun Perodua Kancil itu dapat berfungsi dengan baik, namun kenderaan tersebut perlu juga ditolak menggunakan tenaga manusia terlebih dahulu sebelum boleh bergerak seperti biasa.

Baca juga: Tawar bayaran lumayan, pelakon terkejut ada yang letak syarat kena buka tudung!