Malaysia Dateline

“Ini mesej kita tak ada masalah Parlimen bersidang”

Ahli-ahli Parlimen pembangkang hari ini mengadakan mesyuarat di bangunan Parlimen sebagai isyarat bantahan kepada kerajaan yang terus menggantung persidangan Dewan Rakyat sepanjang pengisytiharan darurat dikuatkuasa.

Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mereka sepakat menggesa kerajaan untuk memanggil sidang Parlimen sesegera mungkin sekali gus menamatkan perintah darurat.

“Kita mahu memberikan mesej tak ada masalah untuk Ahli Parlimen bersidang kerana (gelanggang) bola sepak boleh diteruskan, wayang pun boleh dibuka.

“Ini cara kita melahirkan bantahan kita terhadap keputusan penggantungan Parlimen walaupun Yang di-Pertuan Agong dah beri pandangan bahawa darurat tidak bermakna sidang Parlimen boleh digantung

“Mengikut perlembagaan, bila Agong beri pandangan begitu, maknanya jelas bahawa tindakan kerajaan ini tak tepat,” katanya menerusi satu klip video di Facebook rasminya hari ini.

Pada 24 Februari lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuatkuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri.

Bagaimanapun Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada 3 Mac berkata, kerajaan memutuskan bahawa masih tiada lagi keperluan untuk sidang Parlimen diadakan ketika tempoh darurat.

Susulan itu, sekumpulan individu di bawah Jawatankuasa Penamatan Darurat yang dipengerusi Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad telah menggerakkan satu kempen tamat darurat bertujuan mengumpulkan tandatangan rakyat Malaysia untuk merayu Agong agar darurat ditamatkan.

Laman web tamatdarurat.com yang dilancarkan telah meraih lebih 15,000 sokongan rakyat Malaysia.

Sementara itu, Anwar berkata Majlis Presiden Pakatan Harapan akan bermesyuarat dalam beberapa hari ini untuk memutuskan perkara berkait dengan perundangan dan kebajikan rakyat yang harus diutamakan kerajaan