Ini punca bunyi kuat seperti bom di Ipoh semalam

Oleh ROSLAN ZAMAN

Semalam kecoh satu Ipoh, Perak apabila bunyi dentuman kuat seperti bom menguasai di seluruh tempat. Kejadian yang berlaku pada pukul 11.06 pagi itu dirasai penduduk seolah-olah seperti gempa bumi.

Penduduk turut merasai gegaran di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Chemor, Stadium Perak, Meru Raya, Falim hingga Gugusan Manjoi.

Memetik dari BH Online, Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris mengesahkan kejadian  tersebut bukan berpunca daripada aktiviti letupan kuari atau latihan dari kem Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA), Ulu Kinta.

Pihak Polis masih menjalankan siasatan namun penganalisis pertahanan, Zaki Salleh berpendapat bunyi dentuman kuat itu kemungkinan berpunca daripada ‘Sonic Boom’ (ledakan sonik).

Ledakan sonik adalah bunyi kuat berpunca dari gelombang kejutan yang dicipta sebarang objek sedang bergerak melalui udara seperti jet pejuang dan mencapai kelajuan lebih pantas berbanding kelajuan bunyi.

“Ledakan sonik ini menghasilkan tenaga bunyi yang sangat tinggi kerana pesawat terbang pada kelajuan supersonik.

“Bunyi dentuman sonik ini tidak menyebabkan apa-apa kesan kepada pesawat, malah tiada berlaku letupan pun di udara.

“Kebiasaannya, protokol ketenteraan mengehadkan penerbangan supersonik kepada operasi di atas air untuk meminimumkan kesan ke atas kawasan berpenduduk,” katanya.

Sebelum ini pada tahun 2020, bunyi letupan kuat pernah dirasai di Ipoh apabila seorang penduduk mendakwa telah nampak beberapa Jet Pejuang TUDM melalui kawasan itu.

Baca: Makanan tradisi Malaysia mendunia lagi, pemuda teruja jumpa gerai nasi lemak di Hawaii