Ini reformasi atau deformasi Parlimen YB?

Oleh ARIF ATAN

Agak menarik YB Menteri JPM ( undang-undang ) gomen tebuk atap yang dilaporkan berkata ingin melakukan reformasi Parlimen yang antaranya dengan meminda Akta 347.

Akta 347 adalah berkaitan dengan kuasa ( powers) dan hak istimewa ( privileges ) Parlimen.

Media lapor bahawa antara cadangan kepada pindaan tersebut adalah berkaitan dengan hasrat gomen tebuk atap untuk melarang para ahli parlimen yang sedang didakwa di mahkamah daripada hadir ke persidangan Parlimen.

Sebelum saya ulas cadangan pindaan itu elok juga diingatkan kepada semua menteri dalam Gomen Tebuk Atap yang depa seharusnya perlu ada rasa malu untuk bercakap soal reformasi parlimen bila depa semua tu-suka atau tidak suka- ada “saham” dalam pembentukan Gomen Tebuk Atap melalui “Langkah Sheraton” yang asas utamanya adalah ” memperkosa” ruh demokrasi dan mengkhianati ” vox pupuli” ( suara/mandat rakyat).

Itu yang pertama. Keduanya, reformasi Parlimen bukan sekadar jeritan atau laungan slogan. Jeritan itu ” part” yang terlalu mudah dan malangnya ia tidak ada nilai apa-apa. Dalam politik, depa habaq ia sekadar retorik!

Jika bersungguh sangat ingin lakukan reformasi parlimen, depa sewajarnya kena mulakan dengan ini dahulu.

Depa dengan sejujurnya kena mengaku bersalah dan pi isytihar-“loud and clear” – bahawa depa semua – yang sedang mengemudi gomen tebuk atap -BERSALAH kerana terlibat dalam mendeformasi ( lawan kata bagi reformasi ) sistem demokrasi berparlimen yang, antara lain, wajib menghormati “vox populi” yang saya habaq itu.

Barulah nampak ada kejujuran dan ” legitimacy” untuk bercakap tentang reformasi parlimen.

When you directly involve in deforming democracy, you should not stand on the moral high ground to talk on reform! Period!

Agak aneh bila ada cadangan untuk mereformasi Parlimen dengan melarang para ahli Parlimen yang sedang didakwa di mahkamah daripada menghadiri sidang Parlimen.

Jika politik saya (dan saya percaya mungkin itu juga politik parti saya-Parti Amanah Negara )-diasaskan semata-mata atas dasar marah, geram dan ingin sekadar untuk balas dendam sudah tentu kami kena sokong cadangan “menarik” tersebut.

Sudah tentu kami seronok melihat “musuh” politik kami yang sedang didakwa di mahkamah tidak perlu menyibuk berada di dalam Parlimen apatah lagi jika depa didakwa kerana rompak wang rakyat!

Untuk pihak yang mencadangkan idea larangan tersebut, dengan hormat saya ingin hujahkan bahawa idea depa tersebut amat jauh tersasar dari ruh, semangat dan prinsip reformasi Parlimen.

Mengapa?

Mudah sahaja. Cadangan itu sendiri amat bertentangan dengan prinsip keluhuran dan kedaulatan undang-undang ( rule of law ) yang seharusnya menjadi sebahagian daripada semangat dan prinsip mereformasi parlimen itu sendiri.

Adalah tidak masuk akal dan sama sekali tidak logik apabila sebuah institusi yang ditubuhkan untuk, antara lain, menggubal undang-undang dan menegakkan prinsip keluhuran undang-undang, tiba-tiba ada niat untuk memusnahkan dan menghancurkan prinsip ” rule of law! ” .

Reformasi dan Deformasi tidak wajar berdiri serentak.

Perlukah saya habaq kepada YB Menteri Undang-Undang bahawa hanya seseorang itu didakwa di mahkamah ,,YB sudah tentu terlalu maklum seseorang itu masih berhak menikmati nikmat prinsip “presumption of innocence” atau anggapan tidak bersalah.

Sudah tentu YB juga sedar bahawa prinsip universal itu sudah berkurun kukuh berdiri mengawali sistem pentadbiran keadilan jenayah .

Perlukah prinsip asas universal itu ingin dihancurkan juga?