Demi mencari perlindungan daripada kekejaman pembersihan etnik, gadis warga Rohingya terpaksa menjadi pengantin kanak-kanak di Malaysia.
Setelah lelaki Rohingya di Malaysia membayar RM18,000 bagi menanggung kos penghijrahan mereka, anak gadis ini harus melalui perjalanan yang jauh untuk melarikan diri.
Bukan itu sahaja, kebanyakkan mangsa juga mengaku telah dipukul malah dinodai ketika melakukan perjalanan yang kononnya bakal menjamin masa depan cerah.
Lebih memburukkan keadaan, anak gadis yang menjadi mangsa perkahwinan bawah umur dengan lelaki warga Rohingya di Malaysia ini dilaporkan kerap didera suami.
Memetik laporan Associated Press, separuh kanak-kanak perempuan yang terlibat didapati hamil atau memiliki bayi meskipun mereka tidak bersedia untuk menjadi ibu.
“Ini adalah satu-satunya jalan keluar. Saya belum bersedia untuk berkahwin, tetapi saya tidak mempunyai pilihan,” kata seorang mangsa yang hanya dikenali sebagai F.
F merupakan salah seorang mangsa berusia 16 tahun yang menyaksikan sendiri bagaimana askar Myanmar membakar kediaman dan membunuh ibu saudaranya.
Difahamkan, keadaan di Myanmar dan kem pelarian di negara Bangladesh semakin buruk sehingga mereka tidak mempunyai pilihan selain melarikan diri ke Malaysia.
Menyayat hati, semua gadis malang yang ditemu bual media terbabit mengakui lelaki Rohingya di Malaysia ini jarang membenarkan isteri mereka keluar daripada rumah.
Pengarah Eksekutif Rangkaian Pembangunan Wanita Rohingya, Nasha Nik mengaku melihat peningkatan dalam bilangan pengantin kanak-kanak Rohingya di Malaysia.
Walaupun belum ada statistik tepat yang merekodkan mangsa perkahwinan bawah umur ini, namun kes tersebut dikatakan semakin meningkat semenjak dua tahun lalu.
“Terdapat ramai orang Rohingya yang datang untuk berkahwin.” Ulas Nasha yang bekerja dengan ratusan pengantin kanak-kanak sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Untuk makluman, warganegara Rohingya dilaporkan mula melarikan diri dari negara mereka sejak tahun 2017 selepas berlakunya insiden pembersihan etnik di Myanmar.
Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) telah mengeluarkan amaran tegas kepada Myanmar untuk menghalang pembunuhan umat Islam pada awal tahun 2020 lalu.
Walau bagaimanapun, sikap tidak peduli masyarakat global terhadap krisis ini telah menyebabkan penindasan rakyat Rohingya belum menemui titik noktah sehingga kini.
Baca juga: “Tak mungkin saya bagi anak, isteri makan dari sumber haram” – Shuib tepis dakwaan ‘cuci duit’