Ini semua penyamun punya kerajaan, bidas pemimpin Bersatu Kedah

Ini semua penyamun punya kerajaan, bidas pemimpin Bersatu Kedah

Keputusan muktamad untuk tidak membuat rayuan selepas dipecat daripada Umno didorong kerana sikap parti itu yang dilihat merompak rakyat antaranya paling ketara melalui pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Timbalan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Kedah, Mejar (B) Annuar Abd Hamid berkata demikian ketika mengimbas detik-detik penghijrahannya daripada Umno yang telah diceburinya sejak tahun 1991.

“Paling saya marah tentang isu GST. Datuk Mukhriz bentang minta tiga peratus. Mai ke (Umno Bahagian) Merbok minta kekal enam peratus.

“Saya cabar bagaimana seorang Exco, Adun di Tanjong Dawai sokong dalam dewan, tapi bila di luar dewan tidak sokong?” katanya dalam Sembang Santai Politik Kedah yang turut dihadiri pemimpin kanan Pakatan Harapan negeri itu semalam.

Beliau yang berkhidmat dalam tentera selama 21 tahun dengan kepakaran dalam bidang perisikan itu memberitahu, usahanya menghantar semula usul berkenaan supaya sama dengan keputusan kerajaan negeri yang dipimpin Mukhriz sebagai Menteri Besar tidak berhasil.

“Saya buat balik usul itu. Hantar semula minta turunkan kepada tiga peratus untuk sama dengan kerajaan negeri. Itupun sebulat suara. Semua (perwakilan) sokong.

“Malangnya, tidak diterima,” ujarnya sambil menyifatkan peletakan jawatan Datuk Seri Mukhriz Mahathir pada 3 Februari 2016 sebagai insiden kudeta kerana memang dirancang dengan teliti.

Akibatnya, Annuar berkata, dirinya dipecat daripada Umno dan disaran supaya mengemukakan rayuan.

“Buat apa buat rayuan. Ini semua penyamun punya kerajaan. Buat apa nak rayu. Saya cakap terus terang,” tegasnya dalam program yang disiarkan menerusi Facebook Peduli Channel.

Beliau yang bersara awal daripada tentera kerana melanjutkan pelajaran dalam bidang pelaburan turut menolak sama sekali cadangan penyenaraian Felcra Holdings Bhd di Bursa Malaysia membabitkan sejumlah kira-kira RM20 bilion.

“Saya terpaksa tegur sebab dalam dokumen bank berkaitan laporan 1MDB (1Malayia Development Berhad), ada penyenaraian Felcra. Saya tidak boleh terima.

“Tak boleh. Ini nak tipu rakyat. Mahal RM18 bilion . Nak pi senarai IPO (Tawaran Awam Permulaan), nak ambil daripada rakyat hampir RM20 bilion. Bayangkanlah kalau dapat senarai.

“Jadi, saya buat usul dalam mesyuarat agung Bahagian Merbok pada 2015. Saya buat enam usul sebenarnya. Usul pertama Najib kena berhenti dan letak jawatan pergi bercuti. Ini yang mereka marah sangat,” ujarnya.

Annuar yang mengagumi bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin kerana sifat amanah dan menepati masa, berkata, penegasannya terhadap Najib mencontohi langkah beberapa pemimpin Umno sebelum ini apabila berdepan sesuatu kes.

“Sebab saya beri alasan, kenapa dia (Najib) tidak bercuti. Lain-lain Menteri Besar (apabila ada kes) pergi bercuti. Muhammad Haji Muhammad Taib, Rahim Tamby Chik bercuti tapi Najib masih kekal.

“Saya bentangkan dengan fakta-fakta yang saya ada mengikut data daripada bank mana yang boleh didedahkan. Saya minta buat Suruhanjaya Siasatan Diraja. 100 peratus perwakilan sokong.

“Semua sokong angkat tangan (setuju), undi dalam mesyuarat agung tapi malangnya, dalam laporan tiada apa dibincang,” ceritanya lagi.

Mengulas tentang perkembangan parti Bersatu di negeri itu, Annuar memaklumkan bahawa sambutan termasuk dari segi keahlian adalah amat baik.

Turut serta dalam dialog itu Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh; Timbalannya, Datuk Phahrolrazi Zawawi yang juga Adun Pengkalan Kundur; Ketua Sekretariat Pakatan Harapan Kedah, Dr Abd Rahman Ahmad serta Adun Kota Darul Aman, Kai Bi Teoh.

TAGS