Jangan tidak tahu, penyanyi dalam carta Top 100 Most Awarded Musicians of All-Time, Datuk Seri Siti Nurhaliza juga ada mendendangkan lagu ketuhanan. Sebahagian lagu kerohanian itu tidaklah hadir dengan lirik berisi kalimat lazim seperti lagu nasyid.
Apapun, bukan lagu cinta pasangan kekasih di dunia sahaja yang dinyanyikan Siti yang terpahat sebagai artis Malaysia paling banyak menerima anugerah dalam Malaysia Book of Records pada 2001 dan kekal pemegang rekod sehingga kini.
Ini antara senarai lima lagu ketuhanan nyanyian Siti Nurhaliza yang mungkin semasa awal lagu itu ke udara dianggap ramai pendengar hanya bertemakan percintaan sesama manusia semata-mata:
- Mula dan Akhir (2014)
Lagu ditulis Awi Rafael dan Tinta ini mengingatkan kita mengenai permulaan dan pengakhiran hidup kita sebagai hamba-Nya sepanjang diberi peluang bernafas di bumi ini.
Pelbagai ujian dan cabaran ditempuhi merentas masa sejak dalam buaian lagi hingga ke liang lahad. Ada yang dijemput ketika tua. Ramai juga dipanggil pulang semasa masih muda remaja bahkan kanak-kanak.
Yang nyata, tidaklah mampu kita menghalang ketentuan Ilahi kerana seperti bait lirik lagu ini, “hanya mampu bersabar dan sujud pada-Nya.”
Namun, menjelang sebelum detik nafas terakhir, “sering kali terlupa dan memilih jalan yang salah, leka dan hanyut dalam dosa sehingga kabur mata jiwa.”
Mungkin mendengar ‘Mula dan Akhir’ ini akan menjentik nurani kita untuk kembali menginsafi diri “sebelum waktu terhenti”.
- Salju Kasih-Nya (1999)
Berkumandang menjelang akhir abad ke-20, lagu ini ditulis oleh Hani MJ jika didalami liriknya bagai memimpin kesedaran mengenai pengertian taubat daripada seorang hamba kepada pencipta-Nya.
“Dingin dalam jiwaku, disirami salju kasih-Mu, ku susuri jalan-Mu walau ranjau berliku, cinta-Mu abadi untukku.”
Cuba dengarkan lagu ini kala malam nan sepi, barangkali dapat membangkitkan rasa syahdu mengenangkan “gelora silam tak bisa terpadam” tetapi “harapan menggunung di hati” dan “gelora kasih tak mungkin terluput.”
Pencipta dan penulis lirik digandingi dendangan padu Siti Nurhaliza membuatkan makna tersirat lagu ini sampai ke lubuk hati pendengar.
Malangnya, lagu bernada tinggi dalam album studio keenam Siti Nurhaliza, Pancawarna ini nampaknya jarang didendangkan penyanyinya sendiri dan kurang diputar di corong radio kecuali hanya Radio IKIM.
- Ku Percaya Ada Cinta (2009)
Karya indah daripada album Tahajjud Cinta ini digubah oleh Audi Mok, bersama Habsah Hassan sebagai penulis senikatanya.
Tidak hairanlah meneliti bait-bait liriknya begitu puitis. Hanya dalam satu rangkap seperti berikut ini menjelaskan bagaimana alam terbentang luas adalah anugerah cinta Yang Maha Esa buat hamba-Nya.
“Pandang pandang alam ini, sambil pandang difikiri, mana bumbung langit tinggi, mana lantai bumi, tiap satu yang terjadi, tidak mungkin tersendiri, cuba cari jawapannya andai meragui.”
Oleh sebab itu, walau seperit apa pun “jalan berliku tiada bertepi” sematkan di hati, “ku percaya tidak sia-sia aku diuji, demi cinta tersembunyi hikmahnya pasti.”
Bersama lantunan pemilik suara yang mengalahkan penyanyi terkenal dunia seperti Justin Timberlake, Usher serta Nicky Minaj dalam Top 100 Most Awarded Musicians of All-Time, karya dendangan Siti ini wajar menjadi halwa telinga anda sebelum meninggalkan alam fana ini.
- Mikraj Cinta (2015)
Judul lagu yang menyebut tentang peristiwa perjalanan Nabi Muhammad SAW naik ke langit ini sudah cukup menjelaskan kategorinya.
Hasil ciptaan Hafiz Hamidun disulami lirik indah oleh Ahmad Fedtri Yahya yang ke udara bermula tahun 2015 ini berkisar tentang pengharapan agar menemui pengakhiran di sana yang baik:
“Tuhan temukanlah pengakhiran yang terindah sehingga bertemu-Mu, menghadap-Mu,di syurga.”
Selagi bernama manusia tidak lepas dilanda ujian dan kesukaran namun hidup perlu diteruskan dipayungi reda dan sabar yang membuahkan rasa bahagia.
Tidak hairanlah, lagu yang tenang ini umpama doa buat kita semua, “Ya Tuhan sembuhkanlah, jiwa-jiwa yang berduka, kembali berbicara, dan mengukir senyuman, Tuhan temukanlah dengan hikmah, mikraj cinta.”
- Kudus Sinar-Mu (2001)
Tersemat dalam album Safa, lagu puitis ini diterbitkan sempena ulang tahun kelahiran Siti ke-22. Mungkin ramai tidak sangka lagu kerohanian ini adalah karya komposer yang terkenal dengan lagu Irama Malaysia, Datuk Suhaimi Mohd Zain atau lebih mesra disapa Pak Ngah.
Canai fikir Ce’kem sebagai penulis liriknya melengkapkan lagi keindahan luaran dan dalaman ‘Kudus Sinar-Mu’ yang dikatakan satu-satunya lagu genre balada ciptaan Pak Ngah. Al-Fatihah buat komposer tersohor dan pejuang irama Melayu ini.
Namun, sayang seribu kali sayang. Alunan lagu ini nampaknya tidak digemari sebahagian besar stesen radio tempatan kita yang lebih teruja memutar siang malam lagu K-pop.
“Bagai bahtera kemudi diuji, garis tertentang imbanglah haluannya, berulang renung lapis langit, nipisnya ragaku, bukalah kelopak kudus sinar-Mu.”
Mungkin disebabkan terlalu banyak lagu dan album Siti sebelum ini, jadi banyak jugalah lagu bermutu dendangannya seperti hilang dari radar.
Molek juga Siti dapat mengumpulkan lagu-lagunya yang ‘tenggelam’ ini dan dinyanyikan semula dan diarusperdana kembali sebagai album kompilasi malar segar merimbun akal budi dan nilai insani masyarakat kita.
Baca juga Ciapan Twitter : Mufti Perlis perli Siti Nurhaliza?