Malaysia Dateline

Ini soal hidup mati rakyat, sidang Parlimen tidak perlu tunggu 26 Julai

Persidangan Parlimen perlu disegerakan dan tidak perlu tunggu sehingga tarikh 26 Julai ini, demikian menurut Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, tempoh menunggu 19 hari lagi untuk bersidang adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan tidak memperlihat satu ‘urgency’ atau keperluan mendesak di pihak kerajaan bagi menangani masalah rakyat yang meruncing.

“Kita tidak boleh menunggu sehingga 19 hari untuk bersidang kerana keadaan negara dari segi kesihatan, ekonomi, sosial dan politik negara tersangat kritikal dan memerlukan tindakan segera,” katanya.

Beliau juga telah menghantar satu surat berserta usul kepada Yang Di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun meminta Sidang Dewan diadakan secepat mungkin dan tidak perlu menunggu sehingga tarikh yang ditetapkan iaitu 26 Julai 2021.

Dr Mahathir juga berkata, ketika ini bukan masa untuk beretorik atau memikir kepentingan politik negara di dalam keadaan menangani “life and death” atau hidup mati rakyat.

“Kita tidak ada masa lagi. Kita perlu buat keputusan-keputusan luar jangka dan meletakkan “priority” atau kepentingan dengan betul dan laksana seberapa segera.

“Saya harap Yang Di-Pertua Dewan Rakyat dapat memastikan Sidang Dewan diadakan seberapa segera jika perlu esok atau lusa dan bukan 19 hari lagi,” katanya.