Malaysia Dateline

Inilah masa terbaik untuk laksana reformasi Parlimen

Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Idzuafi Hadi Kamilan, Pengarah Eksekutif Institut Reformasi Politik dan Demokrasi (REFORM), atas kejayaan beliau menghasilkan laporan setebal 93 halaman mengenai penubuhan suruhanjaya perkhidmatan parlimen.

Mesej asas Hadi menyatakan bahawa parlimen yang mempunyai kebebasan yang dijamin oleh Perlembagaan perlu ada “autonomi institusi, autonomi pentadbiran dan autonomi kewangan” (hal.76)

Semua hak autonomi ini hanya boleh dicapai melalui penubuhan sebuah suruhanjaya perkhidmatan parlimen untuk memperbaiki semula “kerosakan” yang berlaku berikutan pemansuhan Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 pada 1992.

Laporan Hadi yang dihasilkan dengan penuh teliti ini memang kena pada tempatnya kerana inilah masanya yang paling sesuai dalam sejarah Malaysia untuk melaksanakan reformasi parlimen.

Ada sekurang-kurangnya lima perkara penting yang perlu diambil kira.

Pertama – kini semua orang menghargai peranan parlimen.

Kita telah melihat betapa pentingnya institusi parlimen apabila Malaysia dilanda krisis baru-baru ini. Negara perlu dikembalikan kepada demokrasi setelah berada di bawah pemerintahan darurat untuk seketika.

Semakin ramai menghargai peranan parlimen setelah merasai “kehilangannya”. Bukan sahaja rakyat Malaysia yang berbicara tentang parlimen, malah Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja, seperti yang terkandung dalam kenyataan mereka pada 16 Jun 2021, menitahkan supaya parlimen dan dewan undangan negeri dibuka semula setelah lama ditutup di bawah undang-undang darurat.

Satu lagi perkembangan menarik ialah kepimpinan UMNO, yang telah memerintah negara melalui Perikatan dan Barisan Nasional selama 63 tahun dari 1955 hingga 2018, kini menjadi juara mendesak parlimen dibuka semula.

Lebih menarik lagi ialah untuk melihat sejauh mana komitmen UMNO terhadap reformasi parlimen, khususnya apabila perdana menteri baharu Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob adalah orang UMNO, walaupun beliau sendiri tidak sebulu dengan kepimpinan partinya.

Kedua – tiada lagi “yang menang, menang semuanya”.

Satu-satunya cara untuk menangani keadaan parlimen 50-50 dan pengundi 50-50, iaitu semua pihak hampir sama kekuatan mereka, ialah menerima hakikat bahawa parlimen perlu adil kepada kedua-dua kerajaan dan pembangkang. Kita perlu menerima kenyataan bahawa parti politik akan bergilir-gilir menjadi kerajaan melalui proses demokrasi, dan tidak lagi didominasi oleh satu parti sahaha.

Oleh kerana tiada lagi satu parti akan menang dengan majoriti besar, kerajaan campuran (coalition government) bakal menjadi norma baharu politik Malaysia. Pembangkang telah menerima 47% undi pada pilihan raya umum 20008, diikui 51% (2013) dan 48% (2018). Inilah realiti politik hari ini.

Titah Yang di-Pertuan Agong pada 18 Ogos 2021 mencerminkan keadaan ini dengan jelas, iaitu “yang menang tidak menang semua manakala yang kalah pula tidak kalah semua”. Ini amat penting kerana kerajaan sekarang mempunyai majoriti yang sangat tipis.

Parlimen yang adil dan berasaskan peraturan akan membolehkan amalan dwipartisan dikembangkan. Ini juga amat perlu sekarang untuk membolehkan negara melawan pandemik Covid-19 dan membina semula ekonomi.

Mewujudkan entiti dwipartisan berbeza dengan menubuhkan “kerajaan perpaduan”. Dwipartisan bererti kerajaan dan pembangkang bersetuju mencapai kata sepakat (concensus) dalam banyak perkara melalui debat dan perbincangan parlimen yang dibawakan dalam jawatankuasa-jawatankuasa parlimen.

Parlimen adalah platform dan saluran untuk amalan dwipartisan. Sebarang usaha ke arah perjanjian atau persefahaman keyakinan dan pembekalan sokongan (CSA) perlu dilihat dalam bentuk kerjasama dwipartisan.

Ketiga – peranan sebenar Wan Junaidi sebagai menteri hal-ehwal parlimen.

Saya mengucapkan tahniah kepada Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar atas pelantikan beliau sebagai menteri hal-ehwal parlimen, dan saya harap pemahaman mendalamnya tentang parlimen akan dapat memulihkan semula institusi mulia ini yang telah dilemahkan akibat tindakan (serta ketiadaan tindakan) oleh bekas-bekas menteri dan bekas-bekas speaker dewan.

Apabila Wan Junaidi menjadi timbalan speaker Dewan Rakyat, beliau turut mempengerusikan satu jawatankuasa untuk memperbaharui undang-undang parlimen pada 2011. (Lihat laporan Hadi, hal. 5, “Jawatankuasa Kajian Pembaharuan Undang-undang di Parlimen”)

Pada 2014, beliau juga menulis sebuah buku yang penting tentang parlimen Malaysia, iaitu “Evolusi Parlimen dan Evolusi Speaker Parlimen Malaysia” yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.

Selepas saya selesai menulis teks ucapan ini, saya tersenyum lebar membaca kenyataan media Wan Junaidi pagi ini yang menyatakan hasrat beliau untuk memulihkan kembali undang-undang perkhidmatan parlimen serta meminda peraturan am parlimen bagi menyesuaikan dengan keadaan semasa.

Kenyataan beliau memang kena pada masanya untuk transformasi parlimen yang memang dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia. Saya harap beliau akan mencatatkan legasi sebagai menteri yang berjaya melaksanakan usaha transformasi parlimen Malaysia.

Untuk memahami konteks reformasi yang saya maksudkan ini, kita perlu tahu sedikit-sebanyak sejarah parlimen sebelum ini.

Sahabat saya Dato’ Seri Nazri Aziz telah dilantik sebagai menteri yang menjaga urusan parlimen mulai 2005 hingga 2013 walaupun pada asalnya beliau hampir tercicir daripada kabinet Tun Abdullah Ahmad Badawi selepas PRU 2004.

Namun, di atas senarai nama menteri, namanya sempat “ditulis dengan pensel” di saat-saat akhir sebelum dipersembahkan kepada YDP Agong. Ini adalah hasil kejayaan timbalan perdana menteri ketika itu, Dato’ Seri Najib Razak memujuk Abdullah Badawi.

Dalam minggu pertamanya sebagai menteri, Nazri tiada portfolio. Hal-ehwal parlimen hanya diberikan kepada beliau kerana sudah tiada portfolio lain. Ketika itu, kementeriannya tiada ketua setiausaha serta tiada pegawai kanan. Malah, beliau dikatakan tidak dipedulikan oleh setiausaha Dewan Rakyat.

Namun, beliau berjaya memujuk kabinet Abdullah untuk menarik kuasa setiausaha kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara dan diserahkan kepadanya. Kedua-dua setiausaha tersebut kemudiannya hanya ditugaskan menjaga hal-ehwal dalaman Dewan sahaja.

Memang Nazri seorang pemimpin ceria yang disenangi ramai Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang. Beliau juga terlibat dalam beberapa usaha antarabangsa seperti pendemokrasian Myanmar. Namun, dalam hal reformasi parlimen, amat sedikit sekali usahanya.

Sehingga hari ini, pentadbiran parlimen diletakkan di bawah sebuah jabatan yang diuruskan oleh seorang pegawai perkhidmatan awam (JPA) yang hanya bertanggungjawab kepada menteri, dan bukannya kepada speaker Dewan Rakyat atau yang dipertua Dewan Negara.

Pada 2005, saya menggelar cara Nazri sebagai pentadbiran parlimen yang memakan diri sendiri atau cannibalisation. Apa yang beliau lakukan telah melengkapkan proses melemahkan parlimen yang bermula sejak 1992 apabila berlaku pertelagahan di antara speaker pada masa itu Tun Mohamed Zahir Ismail dan setiausaha Dewan Rakyat Dato’ Haji Wan Zahir Sheikh Abdul Rahman (Laporan Hadi, hal. 21-22).

Keempat – tidak perlu lagi ada ketua pentadbir serta menteri hal-ehwal parlimen.

Laporan Hadi bagaimanapun tidak menjelaskan tentang “rampasan kuasa” oleh Nazri pada 2005 melalui pewujudan jawatan ketua pentadbir. Dengan penuh hormat, saya tidak bersetuju dengan pandangan Hadi bahawa jawatan ketua pentadbir perlu dikekalkan. (Laporan Hadi, hal. 67)

Bagi tujuan ini, saya harap Wan Junaidi dapat memberi sumbangan besar kepada parlimen dan negara jika beliau boleh berusaha untuk menjadikan dirinya menteri hal-ehwal parlimen yang terakhir di Malaysia, serta memansuhkan jawatan ketua pentadbir.

Beliau perlu memulangkan semula kuasa dan peranan sebenar setiausaha Dewan Rakyat sebagai “setiausaha bagi Parlimen” dan setiausaha Dewan Negara sebagai “timbalan setiausaha bagi Parlimen”.

Parlimen perlu ditadbir oleh jawatankuasa perkhidmatan parlimen, seperti yang dicadangkan oleh Hadi dan juga oleh bekas-bekas speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusoff, di mana dalam jawatankuasa ini, peranan ketua eksekutif dipegang oleh setiausaha Dewan Rakyat dan timbalannya oleh setiausaha Dewan Negara.

Saya juga berharap, tidak lama lagi, jawatan rasmi ketua dewan atau Leader of the House tidak perlu lagi dipegang oleh perdana menteri. Malah, Wan Junaidi layak untuk menyandang jawatan ini.

Sebagai menteri yang berpengalaman serta mempunyai pemahaman mendalam berhubung hal-ewal parlimen, Wan Junaidi sesuai dilantik sebagai Leader of the House seperti yang diamalkan di Westminster UK atau di Parlimen Australia.

Menteri yang memegang jawatan Leader of the House ini bertanggungjawab menguruskan agenda parlimen melalui perbincangan dan rundingannya dengan speaker, ketua pembangkang, ketua whip kerajaan dan ketua whip pembangkang.

Kelima – Mengembalikan jawatan setiausaha Dewan Rakyat kepada Riduan Rahmat

Akhir kata, seperti yang dinyatakan oleh Hadi dalam Bab 2, iaitu sebelum 1992 di bawah peraturan lama Perkara 65 Perlembagaan Persekutuan, jawatan setiausaha kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara merupakan lantikan YDP Agong dan mereka hanya boleh dipecat melalui sebuah tribunal, sama seperti proses untuk memecat seseorang hakim. Namun, kedua-dua jawatan ini telah diturunkan pangkat sehingga berada di bawah kuasa ketua pentadbir.

Sebagai tanda penghargaan serta komitmen untuk reformasi parlimen, saya cadangkan agar perdana menteri Ismail Sabri dan menteri Wan Junaidi mengambil yang jernih dan membuang yang keruh dengan memperbaiki semula kerosakan yang dilakukan oleh pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Saya merujuk kepada kes Encik Riduan Rahmat yang merupakan setiausaha Dewan Rakyat yang telah diturunkan pangkatnya pada 14 Mei 2020 menjadi setiausaha bahagian pengurusan Dewan Negara.

Mengapa beliau diperlakukan sedemikian? Semata-mata, selaku setiausaha Dewan Rakyat, beliau menerima usul undi tidak percaya terhadap perdana menteri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad (hal. 23).

Penurunan pangkat beliau merupakan keputusan yang zalim kerana Riduan telah melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya dengan betul, dan tidak perlu dihukum kerana beliau hanya menegakkan keluhuran parlimen.

Riduan merupakan setiausaha Dewan Negara mulai 2014 hingga Februari 2020 sehingga beliau dilantik menggantikan Datuk Roosme Hamzah sebagai setiausaha Dewan Rakyat. Melantik semula Riduan sebagai setiausaha Dewan Rakyat bererti mengembalikan hak kepada orang yang berhak.

Sekali lagi, saya mengucapkan terima kasih kepada Hadi atas laporannya yang baik ini. Untuk kita semua, sekarang adalah masanya untuk usaha reformasi.