Malaysia Dateline

Inisiatif KKM bantu rakyat Sarawak dipuji

Inisiatif Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam membantu penduduk di Sarawak mendapatkan rawatan kesihatan awal telah mendapat pujian rakyat di negeri ini.

Ketua Koordinator Program Kampungku Sihat Dr Asmah Kolot (gambar atas) berkata, langkah KKM menganjurkan program dan aktiviti berkaitan saringan awal pesakit adalah amat dialu-alukan.

Katanya,ramai penduduk terutamanya yang tinggal di luar bandar dan pedalaman tidak berpeluang untuk membuat pemeriksaan tentang kesihatan diri lebih-lebih lagi apabila jarak dari rumah mereka ke klinik agak jauh.

Dr Dzulkefly dan Chong Chieng Jen bersama-sama kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak pada Program Kampungku Sihat di Kuching hari ini.

“Oleh demikian, saya berharap agar mereka dapat mengambil peluang untuk hadir pada program yang dianjurkan KKM di kawasan masing-masing.

“Ini adalah bagi menggelakkan masalah kesihatan yang dialami semakin serius apabila gagal atau tidak mahu mendapatkan rawatan awal, “katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Kampungku Sihat di Pasaraya Emart Batu Kawa, Kuching hari ini.

Menteri Kesihatan Malaysia, Dr Dzulkefly Ahmad turut hadir bagi meninjau program yang diadakan sehari Itu.

Beliau ditemani Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Chong Chieng Jen dan Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Jamilah Hashim.

Dr Asmah menambah, program Kampungku Sihat yang dianjurkan hari ini adalah di bawah Parlimen Stampin yang turut melibatkan kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Batu Kawa dan Batu Kitang.

Jelasnya lagi, sasaran yang hadir ialah penduduk di kalangan B40 dan penerima yang layak mendapat bantuan PeKa40.

“Setakat tengahari ini, kita telah mendaftar seramai kira-kira 200 orang yang hadir bagi membuat pemeriksaan awal kesihatan mereka.

“Sekiranya terdapat pesakit yang serius semasa melakukan saringan kesihatan itu, kita akan serta-merta rujuk mereka ke hospital atau klinik berdekatan,” tegas beliau

Tambahnya lagi, pihaknya hanya menjalankan saringan kesihatan awal seperti ujian darah dan gula pada pemeriksaan yang dijalankan itu.

Sehubungan itu, beliau berharap agar orang ramai terutamanya yang tinggal di kawasan kampung dan rumah panjang tidak akan melepaskan peluang apabila program dan aktiviti sedemikian diadakan di tempat masing-masing nanti.